Selasa, 6 Disember 2016 | 1:44pm

Fastrackcity pemangkin penting industri permotoran negara - Najib


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar (kanan) dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim (dua dari kiri) melawat pameran sempena majlis ulang tahun ke-10 Iskandar Malaysia di Stadium Tertutup Educity, Iskandar Puteri. - Foto Mohd Azren Jamaludin

ISKANDAR PUTERI: Projek Fastrackcity yang bakal dibangunkan di negeri ini akan menjadi pemangkin penting kepada pembangunan industri permotoran negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, Fastrackcity atau bandar sukan permotoran bersepadu yang dibangunkan di Gerbang Nusajaya, dekat sini, akan turut memberi impak positif dalam pelbagai perkara.

Katanya, projek itu bukan saja akan merancakkan lagi pembangunan hartanah, malah turut mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan dalam sektor pelancongan di Iskandar Malaysia.

"Dianggarkan kira-kira 1,200 peluang pekerjaan dapat diwujudkan menerusi pembangunan Fastrackcity selain menarik kemasukan hampir 350,000 pelancong ke negara ini," katanya berucap pada pelancaran Logo dan Rekabentuk Fastrackcity di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi FASTrack Iskandar.

Projek Fastrackcity yang dibangunkan di tapak seluas 120 hektar merangkumi pembinaan litar antarabangsa gred 1 sepanjang 4.45 kilometer yang akan siap pada tahun 2019.

Selain dilengkapi pelbagai trek bertaraf antarabangsa, Fastrackcity juga menyediakan kemudahan tempat letak kereta bercirikan sistem keselamatan auto vault, galeri merangkumi pameran automotif serta gerai makanan dan peruncitan.

Projek berkenaan dibangunkan dengan kerjasama FASTrack Autosports (Iskandar) Pte Ltd dan UEM Land Berhad.

Najib berkata, Fastrackcity bukan saja menjadi hab permotoran, malah turut membantu melahirkan lebih ramai pelumba berbakat di peringkat antarabangsa.

"Projek ini adalah antara pembangunan penting dalam usaha menjadikan Malaysia mencapai status berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya.

Berita Harian X