Selasa, 6 Disember 2016 | 10:57am

Forest City kerjasama strategik dengan 36 syarikat

GELANG PATAH: Forest City memulakan kerjasama strategik dengan 36 syarikat dari pelbagai industri dalam usaha ke arah membina bandar pintar dan hijau pertama di empat pulau buatan, dekat sini.

Majlis menandatangani kerjasama dengan 36 syarikat itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang dan Pengerusi Eksekutif Country Garden Holding, Yeung Kwok Keung.

Rakan strategik itu membabitkan organisasi terkemuka termasuk berkaitan perubatan dan penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan, pelancongan, perkhidmatan kewangan, teknologi baru, bandar pintar dan pembangunan teknologi hijau.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani plat sebagai gimik perasmian di majlis Menandatangani Inisiatif Strategik dan Pembukaan Rasmi Hotel Phoenix Forest City, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Kerjasama ini selaras dengan hasrat Forest City menjadi hab ekonomi yang melengkapi pembangunan Iskandar Malaysia, sekali gus memacu aktiviti perniagaan baru kepada sebuah perbandaran yang mampan.

Jumlah nilai pasaran semua syarikat terbabit dianggarkan sehingga AS1 trilion termasuk sembilan daripadanya iaitu Huawei, Cisco, Accenture, Midea, China Construction Steel Structure Corporation, Deutsche Bank (Asia Pacific) dan Bank of China (Malaysia) disenaraikan sebagai syarikat Fortune 500.

Sempena program itu, Perdana Menteri turut merasmikan pembukaan Hotel Phoenix Forest City yang terletak di kawasan seluas 1.69 hektar dan menjadi antara projek pembangunan yang terawal beroperasi di Forest City, sekali gus menjadi hotel ke-50 rangkaian Hotel Phoenix dari China dengan menyediakan 400 bilik.

Hotel Phoenix Forest City menawarkan penginapan bermula dari harga RM539 bagi setiap bilik satu malam, dewan bankuet serbaguna yang boleh menerima sehingga 500 orang pada satu masa, bilik mesyuarat dan pilihan lokasi tempat makan.

Pembangunan hotel itu bermula secara berperingkat sejak projek mega Forest City dilancarkan pada Mac lalu.

Forest City memulakan kerjasama strategik dengan 36 syarikat dari pelbagai industri.
Berita Harian X