Isnin, 5 Disember 2016 | 5:33pm
Toyota lancar Innova baharu

UMW Toyota sasar jual 4,000 unit Innova baharu

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor Sdn Bhd melancarkan model baharu kenderaan pelbagai guna (MPV) popularnya, Toyota Innova dengan sasaran jualan agresif 4,000 unit pada tahun depan.

Presidennya, Datuk Ismet Suki, berkata MPV baharu itu menerima sambutan menggalakkan sejak ia dibuka untuk tempahan pada 3 November lalu yang mana setakat ini jumlah tempahan mencecah 500 unit.

"Dengan penarafan Innova sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh kerajaan, ia muncul sebagai model MPV Toyota pertama memperoleh status itu, sekali gus memberikan lebih nilai kepada pemiliknya," katanya pada pelancaran model itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama dan Pegawai Urusan Toyota Motor Corporation, Hiroki Nakajima.

Innova ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula dari RM109,000 hingga RM126,000, termasuk cukai jalan dan insurans.


ISMET (kanan) bersama Akio Takeyama dan Hiroki Nakajima (kiri) hadir pada majlis pelancaran Toyota Innova di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawl

Varian 2.0E M/T menggunakan transmisi manual lima-kelajuan manakala varian 2.0E A/T dan 2.0G A/T menggunakan transmisi enam-kelajuan automatik.

Semua varian dilengkapi enjin baharu teknologi Dual VVT-i.

Toyota menawarkan Innova baharu dengan jaminan lima tahun dan perbatuan tanpa had.

Innova baharu diperkasa dengan reka bentuk luaran baharu mencerminkan imej premium dengan sentuhan gril krom, lampu utama serta profil sisi yang anggun.

MPV baharu itu akan dipamerkan di semua rangkaian pengedaran Toyota seluruh negara, bermula Jumaat ini.

INFO:

  • Harga atas jalan (Semenanjung Malaysia)
  • RM109,000 - Innova 2.0E M/T
  • RM117,000 - Innova 2.0E A/T
  • RM126,000 - Innova 2.0G A/T
Berita Harian X