Isnin, 5 Disember 2016 | 12:14pm

Galven, Warda lakar kejutan di Ipoh


GALVEN Kendall Green dan Warda Amira Abdul Raof muncul juara lelaki dan wanita Kejohanan Golf Amatur Perak dan  Kejohanan Golf Amatur Tertutup Malaysia ke-50 di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC), semalam.

IPOH: Galven Kendall Green dan Warda Amira Abdul Rawof melakar kejutan apabila menjuarai Kejohanan Golf Amatur Perak dan Kejohanan Golf Amatur Tertutup Malaysia ke-50 di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC), semalam. 

Kedua-dua pemain Persatuan Golf Malaysia (MGA) itu datang dari belakang pada hari terakhir untuk muncul juara kategori lelaki dan wanita.  

Galven yang berada pada kedudukan kelima selepas hari kedua apabila melakukan satu bawah par 143, bermain cemerlang semalam dengan catatan empat bawah par 68 untuk memintas pendahulu dua hari, Muhammad Afif Muhammad Ariff dengan satu pukulan. 

Pemain muda dari Selangor itu mencatat lima bawah par 211 keseluruhan. Afif dari Universiti Utara Malaysia (UUM) memulakan hari ketiga berbekal kelebihan enam bawah par 138 tetapi beberapa siri kesilapan menyebabkan dia mencatat dua atas par 74 sekali gus terlepas gelaran. 

Nasib sama turut menimpa seorang lagi pemain MGA, Chan yang turut mencatat 74 pukulan untuk terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan jumlah 213 keseluruhan.  

Begitupun catatan terendah hari terakhir ialah oleh pemain utama negara, Daeng Abd Rahman Abd Aziz dengan lima bawah par 67 untuk jumlah 214 bagi melonjak diri ke kedudukan keempat.  

Sementara catatan dua bawah par 70 membantu Warda mengatasi pilihan utama kategori wanita, Nur Durriyah Damian dengan satu pukulan. 

Durriyah yang mendahului dengan jumlah 145 pukulan melakukan tiga atas par 75 untuk jumlah 220. Manakala Winnie Ng menduduki tempat ketiga dengan 221 pukulan.

Berita Harian X