Ahad, 7 Disember 2014 | 8:26pm

Galven, Nur Eliana muncul juara Cabaran Golf Proton-TSM

SHAH ALAM: Galven Kendall Green mencipta keme nangan pertama dalam kategeori lelaki bawah 21 tahun pada Cabaran Golf Proton-Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSM) 2014 di Kelab Golf & Country Glenmarie, di sini, hari ini.

Pemain berusia 15 tahun dan memiliki handikap sifar itu mencatat lima atas par, 77 pukulan pada pusingan akhir, sekali gus mengakhiri kejohanan empat hari itudengan catatan keseluruhan 290 pukulan.

Berikutan kejayaan tersebut, Galven mempunyai peluang untuk dipertimbangkan bagi mewakili negara pada temasya Sukan Olimpik 2016 Rio Je Janeiro, Brazil apabila sukan itu menjadi acara pingat buat pertama kali dalam tempoh 112 tahun.

"Saya gembira untuk menyatakan bahawa ini adalah pertama kali saya menjuarai kejohanan ini," katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah biasiswa dan trofi daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pengasas serta penaung Yayasan Golf Amal TSM.

Sementara itu, kategori wanita pula menyaksikan pemain berusia 17 tahun, Nur Eliana Ariffin turut merangkul kejuaraan pertama selepas mencatatkan lima atas 77 pada pusingan akhir, sekali gus mengumpul catatan 300 pukulan keseluruhan.

Nur Eliana, yang menduduki tempat ketiga pada edisi tahun lalu, berkata beliau tidak menjangka dapat memenangi kejohanan itu kerana saingan yang hebat.

Beliau turut berjaya melakukan pukulan selubang (hole-in-one) pada lubang ke-12 dalam kejohanan itu dan memenangi motosikal Modenas.

Galven dan Nur Eliana masing-masing menerima biasiswa Yayasan Golf Amal TSM bernilai RM50,000 dan RM40,000 untuk mengikuti latihan di akademi golf yang diiktiraf serta pendedahan di pelbagai kejohanan.

Kejohanan tahunan itu dianjurkan oleh Yayasan Golf Amal TSM dengan tujuan mencungkil dan melatih pemain bawah 21 tahun dengan handikap bawah 12.

Sebanyak 80 pemain dipilih untuk kejohanan ini berdasarkan mata merit dan kedudukan Ranking Golf Amatur Dunia (WARG). - BERNAMA

Berita Harian X