Jumaat, 2 Disember 2016 | 5:46pm

Berkhatan ketika cuti sekolah

REAKSI kanak-kanak sedang menunggu giliran untuk dikhatan. - Gambar hiasan
REAKSI kanak-kanak sedang menunggu giliran untuk dikhatan. - Gambar hiasan

DIGITORIAL: SAYA pasti ramai ibu bapa tercari-cari tempat sesuai untuk mengkhatankan anak-anak ketika musim cuti sekolah ini. Ada yang teruja untuk berkhatan secara beramai-ramai dan ada juga yang memilih untuk berkhatan di klinik atau hospital swasta.

Biar pun lokasi berbeza, apa yang penting adalah anak-anak kita perlu menjalani proses khatan dengan selamat dengan hasil kosmetik yang boleh diterima.

Persiapan untuk anak anda

Anak anda memerlukan persiapan mental dan fizikal untuk melalui pengalaman berkhatan. Ibu bapa berperanan memupuk keyakinan kepada anak-anda untuk mereka melalui proses berkhatan.

Elakkan dari berkata bahawa prosedur ini tidak menyakitkan kerana sememangnya suntikan bius setempat agak sakit. Cuba selami perasaan takut dan curiga yang ada dalam fikiran mereka sebelum menjalani prosedur kerana mereka biasanya akan ditakut-takutkan oleh orang dewasa.

Cabaran pertama adalah untuk meyakinkan anak-anda bahawa pengalaman yang paling menyakitkan adalah semasa suntikan bius setempat, dan bukan semasa berkhatan. Pada buah fikiran anak-anak, saat yang paling getir dan menyakitkan adalah sebaliknya iaitu ketika aktiviti "memotong" dilakukan.

Alatan berkhatan
Alatan berkhatan

Kaedah berkhatan

Kaedah konvensional khatan dengan jahitan - Kaedah yang biasa digunakan adalah kaedah 'dorsal slit'. Selepas suntikan bius setempat diberi, kulit kemaluan akan dibersihkan dengan penggunaan antiseptik.

Bahagian ini kemudiannya akan dipotong dengan gunting atau 'diathermy' (kaedah

pemotongan menggunakan haba).

Luka khatan akan dijahit, disapu krim antibiotik dan memerlukan balutan. Luka perlu dibersihkan setiap hari.

Clamp
Clamp

Teknik Clamp @ Pengapit kulit kemaluan

"Clamp" merupakan alat gentian plastik yang digunakan untuk merapat dan mencantumkan kulit kemaluan yg telah dipotong semasa berkhatan.

"Clamp' yang bersesuaian saiz perlu dipilih untuk tujuan ini. Alat ini akan kekal melekat pada bahagian zakar selama 5 hingga 7 hari sehingga alat ini tercabut dengan sendiri atau kadang-kala perlu dicabutkan oleh doktor.

Teknik "Sutureless"
Teknik "Sutureless"

Berkhatan tanpa jahitan @ 'sutureless'

Teknik berkhatan tanpa jahitan atau 'sutureless' memerlukan penggunaan gam tisu setelah kulit kemaluan dipotong. Ia mula diperkenalkan sekitar tahun 2007 di Malaysia dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Gam tisu berfungsi untuk melekatkan kulit kemaluan luar dan dalam ketika luka khatan sembuh.

Teknik berkhatan 'sutureless' memang terbukti mempunyai kadar pemulihan luka khatan yang lebih cepat dan penjagaan yang paling minimum.

Gam tisu ini mempunyai ciri-ciri antimikrobial dan memberikan perlindungan yang lebih baik untuk luka.

Penggunaan gam ini juga dapat mengelak dari adanya benda asing (contoh zakar pengapit) melekat pada luka pembedahan, dengan itu, mengurangkan risiko jangkitan.

Teknik "Sutureless"
Teknik "Sutureless"

Waktu sesuai untuk berkhatan

Waktu terbaik untuk berkhatan adalah ketika bayi berumur seminggu sehingga dua bulan. Ketika ini, aktiviti fizikal bayi sangat terhad dan reseptor deria dan sakit masih belum sempurna tetapi tidak ramai doktor yang mempunyai kemahiran untuk mengkhatankan bayi ketika umur ini.

Bagaimanapun, masyarakat kita umumnya mula berkhatan ketika berumur

6 tahun ke atas.

Khatan beramai-ramai

Amalan berkhatan beramai-ramai seolah-olah menjadi satu acara yang menyeronokkan bagi pihak penganjur, tetapi pastinya ia bukan pengalaman yang menyeronokkan untuk kanak-kanak.

Walaupun berkhatan adalah wajib bagi setiap muslim, kanak-kanak perlu menempuhinya dengan yang cara terbaik, dan tidak trauma dengan pengalaman itu.

Lokasi berkhatan di masjid atau dewan orang ramai biasanya kurang optimal dan tidak kondusif.

Hak privasi anak-anak kurang terjaga. Keadaan hiruk-pikuk dengan jeritan anak-anak.

Peralatan khatan juga mungkin tidak melalui proses pensterilan yang betul dan ini boleh meningkatkan risiko jangkitan.

Berkhatan adalah prosedur yang penting bagi kanak-kanak kita. Komplikasi khatan seperti pendarahan, isu jangkitan kuman, pemotongan kulit zakar berlebihan, pemotongan otot zakar dan sebagainya memberi kesan sepanjang hayat untuk anak anda. Justeru, berilah pertimbangan tentang isu keselamatan dan bukan isu kos apabila merancang khatan untuk anak anda.

Dr Syariz Izry Sehat
Dr Syariz Izry Sehat

Dr Syariz Izry Sehat
Pakar Bedah Pediatrik, Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur

Untuk keterangan lanjut sila layari;

www.princecourt.com

www.facebook.com/princecourtmc

www.twitter.com/princecourtmc

Berita Harian X