Jumaat, 2 Disember 2016 | 10:10am
SAHAM Asia tidak berubah pada awal dagangan hari ini berikutan sesi yang lembap di Wall Street dan Eropah. - Foto hiasan

Saham Asia tidak berubah pagi ini

SINGAPURA: Saham Asia tidak berubah pada awal dagangan hari ini berikutan sesi yang lembap di Wall Street dan Eropah susulan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) melonjak ke paras tinggi dalam tempoh hampir 18 bulan dan kontrak hadapan minyak mentah meningkat ke paras tinggi dalam 16 bulan.

Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, MSCI tidak banyak berubah, tetapi kekal dalam kedudukan untuk mengakhiri minggu ini meningkat 0.6 peratus.

Indeks Jepun Nikkei, yang melonjak ke paras tinggi dalam 11 bulan semalam, jatuh 0.6 peratus pada awal dagangan hari ini berikutan pengukuhan yen. Ia berada pada landasan untuk mencatatkan kenaikan mingguan 0.1 peratus.

Hasil Perbendaharaan AS 10 tahun mencecah paras 2.492 peratus semalam, paling tinggi sejak Jun 2015, selepas perangkaan menunjukkan aktiviti pengilangan meningkat pada November dan perbelanjaan pembinaan berada pada paras tinggi dalam tujuh bulan pada Oktober.

Mengenai harga minyak mentah, kontrak penanda aras global, Brent melonjak ke paras tinggi dalam tempoh 16 bulan pada paras AS$54.53 setong semalam selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran pertama sejak 2008.

Russia juga bersetuju untuk menyertai pengurangan output buat pertama kali dalam 15 tahun.

Kontrak minyak mentah AS, West Texas Intermediate meneruskan kenaikan hari ini dengan meningkat 0.2 peratus kepada AS$51.17.

Dalam pasaran tukaran asing, dolar AS ditutup rendah 0.3 peratus semalam dan diniagakan 0.1 peratus lebih rendah kepada 113.78 yen hari ini, tetapi kekal dalam landasan untuk mencatatkan peningkatan mingguan 0.5 peratus. - Reuters

Berita Harian X