Khamis, 1 Disember 2016 | 8:14pm

Putrajaya hab seni, budaya, sastera dan teknologi Islam menjelang 2025


Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail.

PUTRAJAYA: Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan berpotensi untuk menjadi hab seni, budaya dan teknologi Islam alaf baharu berikutan penganjuran pelbagai program berkaitan agama sebagai pengisian.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail, berkata pendekatan itu secara tidak langsung menggalakkan interaksi dan pertukaran ilmu pengetahuan dalam bidang kesenian Islam, kraf, budaya, sastera dan teknologi.

Tambah beliau, asas berkenaan juga dapat dimanfaatkan bagi memperluaskan peluang perdagangan dan perniagaan berteraskan Islam seperti industri halal, pada peringkat antarabangsa khususnya dengan negara Islam lain.

"Hab ini dijangka dapat dilaksanakan menjelang 2025 dengan kerjasama Tourism Malaysia," kata pada sidang media sempena majlis perasmian Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

PIIACUF 2016 yang memasuki tahun keempat, disertai 10 negara, termasuk Oman, Uzbekistan, Kuwait, Iran, Brunei, Indonesia, China, Bangladesh serta Turki, selain Malaysia dan akan berlangsung selama 11 hari, dibuka kepada pengunjung bermula dari jam 9 pagi hingga 11 malam.

Antara acara yang menjadi pengisian ialah demonstrasi kaligrafi permaidani dari Bangladesh dan Kuwait, gerai pameran dan jualan, forum, klinik al-Quran, demonstrasi khat, selawat bersama Habib Syech Assegaf, pertunjukkan fesyen Islam dan persembahan kebudayaan.

Kata Hasim, lokasi penganjuran PIIACUF pada kali ini diubah ke PICC bagi memberi ruang yang lebih besar untuk pameran, di samping menjimatkan kos perbelanjaan berbanding penganjuran yang diadakan sebelum ini.

Katanya,bersesuaian dengan cuti persekolahan, pihaknya menyasarkan satu juta pengunjung akan menghadiri festival 11 hari itu.

Berita Harian X