Khamis, 1 Disember 2016 | 12:02am

Misteri dinar emas Kesultanan Melaka


PENGGUNAAN dinar emas di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pencarian dinar emas Kesultanan Melayu Melaka menjadi cabaran besar dan teka-teki yang belum dapat diselesaikan kepada bidang arkeologi di negara ini kerana artifaknya belum pernah ditemui sehingga Muzium Melaka sendiri pun tidak memilikinya.

Cabaran itu disorot kepada Syarahan Kehidupan di Kota Purba di Asia Tenggara di Pusat Dunia Melayu dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Bukit Damansara di sini, yang menampilkan Pensyarah Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS), Prof Dr John Miksic.

Apatah lagi Kerajaan Pasai yang wujud lebih awal pun mempunyai tinggalan mata wangnya, manakala Kesultanan Melayu Johor yang mewarisi Kesultanan Melaka dan penjajah Portugis yang menyebabkan kejatuhan Melaka pada 1511.

Kewujudan dinar emas Kesultanan Melayu Melaka itu terus menjadi tanda tanya menyebabkan timbul soalan peserta wacana itu yang mempersoalkan apakah ia sengaja 'dihilangkan' dari sejarah?

Bagaimanapun, Miksic meluahkan keyakinan bahawa Kesultanan Melayu Melaka memiliki dinar emasnya yang sendiri, tetapi malangnya tinggalan berharga itu masih belum berjaya ditemui sehingga kini.

Kajian arkeologi bawah laut

"Disebabkan itu adalah sangat penting untuk kajian arkeologi bawah laut, terutama di sekitar Selat Melaka dilakukan. Sekiranya pencarian itu dapat dilakukan, ia pasti akan membuka peluang untuk mata wang itu berjaya ditemui," katanya.

Yang turut hadir, Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim; Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar dan Pengarah Pusat Dunia Melayu dan Tamadun Islam, Dr Hafiz Zakariya.


PENSYARAH Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS), Prof Dr John Miksic. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Miksic berkata, penyelidikan sejarah dan arkeologi yang lebih mendalam juga perlu dilakukan di Sungai Melaka bagi menyingkap lebih banyak sejarah kota Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.

Beliau berkata, sisa tinggalan zaman kesultanan Melayu dan pelbagai aktiviti perdagangan yang dilakukan termasuk di atas jambatan di kawasan muara yang turut disebut dalam catatan pengembara Barat yang menjejakkan kaki ke kota itu.

"Melaka masih menyimpan banyak teka-teki, tetapi masih ada kemungkinan untuk kita menemukan keterangan mengenai sejarah kota itu kerana ketika Sungai Melaka dibersihkan sebelum ini, banyak sekali sisa barangan ditemui termasuk mata wang dan tembikar Melayu.

"Saya yakin sekiranya kita menyelidiki tinggalan di dasar sungai melalui arkeologi, banyak penemuan baharu mengenai kehidupan di dalam kota Melaka yang akan diperoleh," katanya.

Kerjasama dengan negara jiran

Sementara itu, Rais yang mahu lebih banyak pengkajian sejarah dilakukan secara saintifik berkata, Malaysia perlu bekerjasama dengan negara lain bagi memperkukuhkan kemelayuannya melalui pensejarahan.

"Sangat baik sekiranya kita dapat memperkukuhkan aspek ini melalui kerjasama antara Malaysia dengan negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.

"Bangsa Melayu selalu bercerita mengenai Srivijaya dan Majapahit tetapi sebenarnya sebelum Srivijaya kita mempunyai dua tamadun Melayu yang tidak dapat dibongkar.

"Kita perlu melakukan kajian dan mencari hubungan dua tamadun ini dengan Srivijaya yang kemudian diteruskan dengan kajian arkeologi yang mendalam," katanya.

Berita Harian X