Rabu, 30 November 2016 | 5:17pm
PENGASAS dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENGASAS dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Kumpulan Public Bank catat rekod keuntungan sebelum cukai

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank mencatatkan prestasi kewangan baik tahun lalu dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM7.12 bilion, melepasi paras RM7.0 bilion untuk pertama kalinya.

Ia adalah pertumbuhan 8.6 peratus daripada keuntungan sebelum cukai sebanyak RM6.55 bilion yang dicapai setahun lalu.

Manakala, keuntungan bersih milik pemegang saham meningkat sebanyak 5.1 peratus kepada RM5.47 bilion, yang diterjemahkan kepada pulangan ekuiti bersih sebanyak 15.8 peratus bagi tahun 2017.

Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata pada 2017, ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh daripada yang dijangkakan dan pengembangan berterusan dalam permintaan domestik berserta persekitaran luaran yang semakin baik terus memberi peluang untuk pertumbuhan kepada industri perbankan.

"Berlawanan dengan latar belakang makro, Kumpulan Public Bank terus maju dan mencatatkan keputusan kewangan yang baik dengan jumlah pertumbuhan pendapatan bersih dibanggakan sebanyak 7.9 peratus, dipacu oleh pertumbuhan pinjaman baik selain usaha berterusan bagi hasil berasaskan fi serta pengurusan kos yang efektif," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, dengan prestasi teguh pada 2017, Kumpulan Public Bank terus mencapai pulangan ekuiti bersih yang tinggi sebanyak 15.8 peratus sambil mengekalkan nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar sebanyak 0.5 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang efisien sebanyak 31.9 peratus.

"Keputusan itu adalah pengesahan terhadap strategi pertumbuhan organik dan model perniagaan Kumpulan yang mampan.

"Kami sudah memperoleh manfaat daripada pelaksanaan strategi pertumbuhan kami yang berperaturan sambil mengekalkan amalan pengurusan risiko yang berhemat bagi memastikan pulangan yang mampan serta stabil," katanya.

Berdasarkan prestasi baik Kumpulan pada 2017, lembaga pengarah Kumpulan Public Bank mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 34 sen, menjadikan jumlah dividen bagi 2017 kepada 61 sen.

Hong Piow berkata, jumlah dividen yang sudah dan belum dibayar bagi 2017 berjumlah RM2.36 bilion, iaitu jumlah pembayaran sebanyak 43.1 peratus daripada keuntungan bersih Kumpulan bagi 2017.

Mengulas mengenai prospek kumpulan pada tahun ini, beliau berkata, sektor perbankan secara amnya dijangka stabil pada 2018.

"Ekonomi global semakin pulih dan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh pada 2018. Ini menentukan tinjauan yang stabil untuk peluang pertumbuhan yang berterusan bagi sektor perbankan di Malaysia.

"Menyedari prospek keseluruhan ekonomi semakin baik, Kumpulan Public Bank akan terus berwaspada terhadap potensi tekanan ke bawah berikutan sentimen pengguna yang terus rendah dan ketidaktentuan yang melingkari persekitaran ekonomi global," katanya.

Bagaimanapun katanya, Kumpulan Public Bank tetap yakin model perniagaannya utuh berasaskan strategi pertumbuhan organik bagi perniagaan terasnya, iaitu perbankan runcit dan pembiayaan, serta dasar kreditnya yang berhemat dan amalan pengurusan risikonya yang kukuh akan terus menjadi kekuatan Kumpulan untuk terus berusaha ke arah pertumbuhan dan keuntungan lebih baik.

Berita Harian X