Rabu, 30 November 2016 | 6:39am

Portugis gagal lenyapkan Kesultanan Melayu Melaka


MOHD Yusoff menunjukkan buku Sejarah Melayu. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Di sebalik fakta sejarah yang mencatatkan serangan Portugis meruntuhkan Kesultanan Melayu Melaka, ia tetap tidak menghalang institusi kesultanan itu daripada terus membawa pengaruh besar dan tersendiri dalam sistem bernegara dan berkerajaan pada masa kini.

Pro Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hashim, berkata tragedi pelanggaran Portugis pada 1511 menyebabkan kesultanan itu ketika pemerintahan Sultan Mahmud I berpindah ke Johor Lama untuk memulakan pemerintahan empayar Johor dan kemudian ke Johor-Riau.

Mohd Yusoff berkata, kemangkatan Sultan Mahmud II pada 1699 dan pengaruh politik Bugis serta Minangkabau menyebabkan Empayar Johor berdepan kegawatan sekitar 1720-an, menyebabkan muncul beberapa kesultanan baharu di Tanah Melayu.

Teruskan kelangsungan Johor-Riau

"Kemunculan ini sama ada bagi meneruskan kelangsungan Empayar Johor-Riau atau yang pernah menjadi jajahan takluknya seperti Pahang, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Perlis.

"Dari segi geopolitik, kuasa ini berselerak, tetapi sistem bernegara dan berkerajaan yang berteraskan kesultanan masih diteruskan. Induk kepada sistem ini ialah institusi Raja-Raja Melayu yang diwarisi berteraskan tradisi Melaka dan Johor Lama," katanya kepada Sastera & Budaya di Universiti Malaya (UM) di sini.

Mohd Yusoff berkata, hal itu disorot melalui Sejarah Melayu Versi Siak yang diselenggaranya yang menganalisis Kesultanan Melayu Melaka sepanjang abad ke-15 dan 16 dari pelbagai bidang terpilih termasuk institusi Raja dan kesultanan, politik serta sistem dan hala cara bernegara.

Dekati pengaruh Kesultanan Melayu Melaka

Naskhah terbitan KUIM itu turut mendekati pengaruh Kesultanan Melayu Melaka sehingga ke hari ini yang didekati melalui kaedah kesinambungan, perubahan sejarah dan transformasi budaya serta politik peringkat negeri dan nasional.

"Ia juga membicarakan peranan institusi kesultanan sebagai induk kepada budaya politik, pelaksanaan kuasa dan wibawa, sistem serta susun atur pemerintahan dan pentadbiran kerajaan yang dipancarkan dalam teks Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka," katanya.

Menurut Mohd Yusoff, teks undang-undang ini terkesan ke atas kerajaan dan kesultanan Melayu selepas era Melaka malahan ia terpancar hingga ke hari ini di dalam Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh beberapa buah negeri beraja di Semenanjung," katanya.

"Kedua-dua teks ini juga memberi gambaran mengenai aktiviti ekonomi Melaka sebagai entrepot dan emporium antarabangsa," katanya.

Berita Harian X