Selasa, 29 November 2016 | 7:20pm

Terengganu mula banjir, 83 dipindahkan di Kemaman


Anggota Persatuan Bulan Sabit Merah dan beberapa penduduk memindahkan warga emas Ng Kim Er, 94, yang uzur ke rumah saudaranya selepas rumahnya dinaiki air di Taman Cerong Lanjut, Kuala Terengganu hari ini. Hujan yang turun sejak malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air dan banjir kilat di negeri ini. - Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Seramai 83 orang daripada 16 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Kemaman, hingga jam 7 malam ini.

Hujan lebat serta air pasang sejak malam kelmarin menyebabkan beberapa daerah di negeri ini dinaiki air, namun hanya Kemaman yang membuka pusat pemindahan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasik dan Sekolah Kebangsaan Telok Kalong.

Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah, Leftenan Muda (PA), Muhd Azeri Shakri, berkata seramai 83 mangsa dipindahkan termasuk dua bayi, selepas kediaman mereka dinaiki air setinggi lebih satu meter.

"Proses pemindahan bermula sejak jam 3.50 petang hari ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu beberapa jalan utama di daerah ini, Dungun dan Kemaman turut dinaiki air menyebabkan laluan kenderaan terpaksa dilencongkan.

Bagaimanapun, sungai di semua daerah di negeri ini masih berada pada paras normal.

Berita Harian X