Sabtu, 6 Disember 2014 | 5:08pm

Tun Arifin Zakaria terima Ijazah Kehormat Undang-Undang UniSZA

KUALA TERENGGANU: Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sempena kovokesyen keenam universiti itu.

Ia sebagai mengiktiraf sumbangan dan ketokohan beliau dalam bidang tersebut.

Tokoh lain yang turut menerima ijazah kehormat kedoktoran ialah Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (Perubatan) dan Gabenor Negeri Kano, Nigeria, Ir Dr Rabiu Musa Kwankwaso (Pendidikan).

Majlis konvokesyen berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak yang dirasmikan Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Mohamed Nor.

Turut hadir Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Datuk Shaikh Harun Ismail; Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Yahaya Ibrahim.

Sebanyak 2,485 graduan menerima ijazah dalam konvokesyen yang berlangsung sehingga Isnin ini.

Daripada jumlah itu, enam graduan menerima ijazah doktor falsafah, 22 graduan sarjana, 824 graduan sarjana muda dan 1,633 graduan diploma.

Pada hari ini, 314 graduan daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi serta Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan menerimanya, termasuk 11 graduan antarabangsa.

Pelajar Fakulti Biosumber, Ahmad Hanafi Sulung, 23, serta Vivian Lam Shi Wei, 24, dari Fakulti Seni Reka dan Teknologi Kejuruteraan dinobat sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja yang pertama kali diperkenalkan.

Fakulti Perubatan dan Sains turut mencipta kejayaan dengan kelahiran sulung 28 graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan serta 20 graduan Diploma Fisioterapi. - BERNAMA

Berita Harian X