Selasa, 29 November 2016 | 2:54pm

Piala Dunia Remaja: FIH tawar Malaysia ganti Pakistan

KUALA LUMPUR: Ketiadaan Pakistan yang menarik diri menyaksikan Persekutuan Hoki Dunia (FIH) menawarkan slot buat skuad hoki remaja negara untuk menyertai Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, India, yang berbaki 10 hari saja lagi.

Menerusi kenyataan dikeluarkan FIH, walaupun Pakistan sudah membuat permohonan visa lewat daripada hari terakhir pendaftaran, namun pasukan itu gagal membuat tempahan untuk kemudahan sepanjang kejohanan.

Ini sekali gus membuka ruang buat Malaysia untuk beraksi dalam saingan Kumpulan B bersama Belanda, Belgium dan Mesir. 

Walaupun belum mendapat pengesahan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), difahamkan badan induk itu bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sudah bersetuju membenarkan skuad remaja negara bertanding di India.

Seandainya menjadi kenyataan, ini bermakna skuad remaja negara mempunyai tempoh singkat untuk bersiap ke India dengan tugas getir ini bakal digalas majoriti pemain yang beraksi pada Kejohanan Piala Sultan Johor, baru-baru ini.

Malaysia gagal melepasi kempen kelayakan Piala Remaja Asia di Kuantan, Pahang tahun lalu apabila sekadar meraih tangga kelima sekali gus gagal buat pertama kali ke Piala Dunia Remaja sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1979.

Untuk rekod, dalam penampilan edisi Piala Dunia Remaja 2013 menyaksikan Malaysia merakam kejutan meraih penamat keempat untuk menyamai pencapaian terbaik setakat ini.

Berita Harian X