Ahad, 27 November 2016 | 3:29pm

Kerjasama polis, masyarakat kurangkan jenayah di Putrajaya


KETUA Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan bergambar bersama peserta acara Ujian Kemahiran Menembak IPD Putrajaya Bersama Komuniti dan Media di Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Kerjasama masyarakat setempat dan pihak polis terbukti sebagai rumusan terbaik dalam mengurangkan kadar jenayah di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata usaha pihak polis meningkatkan interaksi dengan masyarakat setempat berjaya mengubah persepsi negatif terhadap pihak berkuasa.

"Tidak ada kritikan atau komen seperti dahulu. Jika ada teguran, ia dibuat menerusi saluran yang betul.

"Kini, kebanyakan anggota masyarakat menyokong usaha IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Putrajaya secara keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas menyertai acara Ujian Kemahiran Menembak IPD Putrajaya Bersama Komuniti dan Media di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail.

Ia adalah program tahunan kali kedua, bertujuan merapatkan hubungan polis dengan masyarakat setempat dan agensi kerajaan yang banyak membantu pihak berkuasa itu dalam urusan pencegahan jenayah.

Rosly berkata, kadar jenayah dalam penempatan masyarakat di Putrajaya berkurangan tetapi jenayah di kawasan projek pembangunan tidak berpenghuni dikesan meningkat dengan kes seperti kehilangan kabel, peralatan serta mesin.

"Kes pecah rumah dan samun sudah kurang tetapi indeks jenayah Putrajaya meningkat kerana kes di tapak binaan bertambah," katanya.

Berita Harian X