Sabtu, 26 November 2016 | 11:00pm

Kejohanan Golf BDB Firefly 2016 meriah


PENGARAH Urusan BDB, Datuk Izham Yusoff (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang selepas majlis penyampaian hadiah untuk BDB Firefly Golf Tournament 2016 di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), di sini hari ini. - Foto Ihsan BDB

JITRA: Lebih 120 pemain profesional dan amatur menyertai Kejohanan Golf Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) Firefly 2016 yang dianjurkan buat julung kalinya di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), di sini hari ini.

Pengarah Urusan BDB, Datuk Izham Yusoff, berkata pihaknya berasa bangga dengan penganjuran kejohanan ini yang mendapat sambutan menggalakkan apabila melangkaui sasaran awal iaitu 100 peserta sahaja.

Katanya, penyertaan melebihi sasaran menunjukkan objektif kejohanan untuk mempromosikan DGCC sebagai lapangan golf terbaik tercapai dan dikenali ramai.

"Kejayaan ini juga membuktikan, BDB menyahut seruan kerajaan negeri untuk menjadikan Kedah bukan sahaja sebagai destinasi untuk bermain golf tetapi keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan bersempena dengan Tahun Melawat Kedah 2016.

"Kejohanan ini boleh diteruskan pada masa akan datang sekiranya pihak Firefly bersetuju untuk meneruskan kerjasama, sekali gus dimasukkan di dalam kalendar DGCC akan datang," katanya dalam kenyataan di sini.

Kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan mencecah RM1 juta dengan membolehkan pemain golf yang pertama berjaya melakukan pukulan "Hole-in-One" memenangi sebuah rumah banglo dua tingkat di Bandar Darulaman, di sini, tajaan BDB Land Sdn Bhd bernilai RM800,000.

Juara kejohanan juga akan membawa pulang dua tiket penerbangan pergi dan balik ke Singapura termasuk pakej penginapan dan bermain golf manakala naib johan membawa pulang dua tiket penerbangan pergi dan balik ke Pulau Langkawi berserta dengan penginapan.

Bagi tempat ketiga, keempat dan kelima pula, pemenang diberikan tiket penerbangan pergi balik dari Subang, Selangor ke Johor Bahru yang mana kesemua hadiah ini ditaja oleh Firefly membabitkan nilai tajaan hampir RM20,000.

Berita Harian X