Jumaat, 25 November 2016 | 9:42pm

Kampung Kepala Bendang, lokasi pertama Program Kraf Kampungku 


MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (dua kanan) melihat proses membuat labu sayong selepas melancarkan Kraf Kampungku di Kuala Kangsar. - Foto Muhaizan Yahya

KUALA KANGSAR: Kampung Kepala Bendang di Sayong di sini dipilih menjadi lokasi pertama bagi pelaksanaan Program Kraf Kampungku yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat perusahaan kraf terkemuka dan destinasi pelancongan utama negara.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pelaksanaan program berkenaan membolehkan penghasilan produk kraf seramik di Sayong dapat diketengahkan sebagai antara produk pelancongan utama negara.

"Pemilihan lokasi ini berikutan kedudukan kampung ini yang terletak dalam bandar diraja yang juga dikenali Daerah Seni Warisan manakala dan kawasan Sayong sememangnya terkenal dengan hasil kraf labu sayong yang diperbuat daripada tanah liat," katanya melancarkan Program Kraf Kampungku di Dewan Orang Ramai Kampung Kepala Bendang, Sayong di sini, lewat petang tadi.

Nazri berkata, seramai 99 usahawan kraf seramik bergiat aktif di sekitar Kuala Kangsar dengan nilai jualan sebanyak RM2.5 juta bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini dan daripada jumlah itu, 61 usahawan mengusahakan produk labu sayong dengan perolehan jualan RM1.1 juta bagi tempoh sama.

"Melihat kepada potensi dan warisan serta kesenian yang ada di Kuala Kangsar inilah, saya berkeyakinan daerah ini (Sayong) berpotensi untuk dimajukan menjadi pusat perusahaan kraf terkemuka dan destinasi pelancongan utama dalam negara," katanya.

Projek itu tidak terhad di daerah Sayong sahaja tetapi akan diperluaskan di daerah sekitar Kuala Kangsar manakala produk seramik sayong dijangka dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun depan.

Program Kraf Kampungku akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara dan selepas Kuala Kangsar, ia dilancarkan pula di Keningau, Sabah.

Berita Harian X