Jumaat, 5 Disember 2014 | 4:07pm

Betty Banafe tampil dengan jenama pakaian bayi, kanak-kanak

DAMANSARA: Tanggal 1 Disember lalu genap setahun usia anak pelakon Betty Banafe. Hari ini anak beliau Julia Claire Dargus diraikan di restoran Hadramawt, The Curve.

Malah lebih istimewa Betty turut mengumumkan jenama rangkaian pakaian bayi hingga kanak-kanak berusia empat tahun yang dipanggil Julia Betty.

Lebih istimewa rangkaian pakaian ini turut memberi peluang kepada pereka baru tempatan dan mereka yang kurang upaya tetapi berbakat dalam bidang fesyen.

"Untuk permulaan projek ini pereka baru Amaleena Yusoff berusia 22 tahun bekerjasama dengan pereka profesional, Adam Muzaini untuk fasa pertama rangkaian jenama ini.

"Saya optimis jenama pakaian ini dapat membuka pintu serta peluang kepada pereka baru dan kurang upaya untuk menunjukkan bakat mereka, sekali gus mempromosikan produk buatan tempatan," kata Betty sambil memberitahu perkembangan Julia Betty boleh diikuti di laman Instagram @juliabettybanafe.

Pada acara yang dianjurkan Party Republic ini turut diadakan pemeriksaan kesihatan untuk tetamu daripada KPJ Healthcare Berhad.

Antara teman artis yang hadir seperti Eja, Noryn Aziz, Zahida Rafik, Mustapha Kamal, Susan Menon, Wafa Abdul Kadir, Kuniey dan Kuna.

Berita Harian X