Jumaat, 25 November 2016 | 12:04am

Akhlak luhur Rasulullah turut diperakui musuh

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan Kitab-Nya, dan Rasul-Nya. (Mereka berkata): Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-Nya. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jugalah tempat kembali." (Surah Al-Baqarah, ayat 285)

Allah SWT memulakan surah al-Baqarah dengan penjelasan bahawa al-Quran tidak mengandungi keraguan bahkan petunjuk kepada keimanan yang menjadi asas pegangan mereka. Selepas itu, Allah SWT menyebut keadaan orang kafir dan orang yang berada dalam keraguan. Allah SWT juga menunjukkan beberapa ahkam seperti puasa, haji dan talak.

Surah al-Baqarah diakhiri dengan penyaksian untuk Rasulullah SAW dan orang beriman. Kemudian mereka diajarkan doa yang diredai-Nya dan disebut betapa sempurna ketaatan dan kepatuhan mereka kepada Tuhan yang telah memelihara mereka dengan sebaik-baik bentuk.

Memberi keistimewaan kepada mereka dengan fitrah, akhlak sempurna, membersih dan menyucikan jiwa mereka daripada kekotoran sehingga dapat mencapai jalan kebahagiaan serta meraih kemenangan di dunia dan akhirat dengan sebaik-baiknya.

Imam al-Bukhari meriwayatkan, daripada Ibnu Mas'ud, beliau menceritakan, Rasulullah SAW bersabda: "Siapa membaca dua ayat terakhir surat al-Baqarah pada malam hari, maka kedua ayat ini mencukupkannya." (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW mempercayai segala wahyu mengenai akidah dan semua hukum Allah SWT dengan perasaan yakin lalu Baginda menjadikannya sebagai dasar akhlaknya. Perkara ini bersesuaian seperti dinyatakan oleh Aishah bahawa akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran.

Kesan pengaruh iman

Kesan pengaruh iman ialah kesucian dan kebersihan jiwa pada diri serta kemahuan mereka yang luhur. Keadaan ini menakjubkan orang lain terutama sewaktu mereka membuka pelbagai wilayah dan menguasai bangsa lain.

Akhlak Rasulullah SAW yang adil dan bijak disaksikan sendiri oleh musuh termasuk yang paling jahat menentangnya.

Kesempurnaan iman rasul dan mukmin dibuktikan dengan keimanan mereka yang sempurna terhadap wujud Allah SWT, keesaan-Nya, kesempurnaan sifat-Nya dan dengan keimanan mereka kepada wujudnya malaikat sebagai makhluk Allah SWT yang dimuliakan serta tidak pernah derhaka kepada-Nya.

Keimanan itu menurut Yusuf al-Qaradawi adalah tonggak dan titik persamaan antara dua kelompok besar dalam Islam iaitu sunni serta syiah. Atas titik tonggak besar inilah seharusnya dibina kekuatan perpaduan dan dipupuk kerjasama sesama mereka.

Orang Islam yang beriman dan mengaku beragama Islam serta menyerah diri kepada Allah SWT seperti diperintah oleh rasul-Nya, mereka tidak membeza-bezakan antara rasul dengan rasul. Merekalah sebenarnya orang beriman.

Semua rasul mempunyai risalah dan dakwah yang sama iaitu menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT dan kepada akhlak yang mulia. Dari segi kelebihan antara satu dengan lain, ia adalah suatu keistimewaan yang lain.

Larangan bicara sifat malaikat

Allah SWT melarang manusia membicarakan soal hakikat, sifat dan perbuatan malaikat. Mereka percaya menurut ketentuan al-Quran, apa yang al-Quran sebut secara umum, mereka percaya secara umum juga. Apa yang al-Quran terangkan secara khusus, mereka percaya secara khusus juga.

Keimanan kepada malaikat Allah SWT adalah sebahagian daripada keimanan kepada perkara ghaib yang mengeluarkan insan dari daerah alam pancaindera yang ada. Keimanan kepada hakikat malaikat dapat menjadikan hati manusia mesra terhadap malaikat yang sentiasa ada di sekeliling yang turut beriman kepada Allah SWT.

Perbezaan iman ahli kitab

Sesungguhnya ayat ini menegaskan perbezaan antara orang beriman dengan ahli kitab kerana orang yang beriman percaya pada semua rasul dan kitab Allah tanpa sebarang perbezaan. Perkara ini berlainan dengan kepercayaan ahli kitab.

Sesungguhnya orang Yahudi tidak percaya akan kerasulan Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW. Orang Nasrani pula terlalu mendewa-dewakan Nabi Isa dengan mengatakan Nabi Isa putera Allah SWT. Di samping itu, mereka mengingkari kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Orang yang beriman dengan ikhlas akan menghitung kekurangan dirinya selepas wujudnya rintangan yang datang kepada mereka. Mereka hanya inginkan kesempurnaan. Hal ini hanya dapat dilakukan melalui jalan bertaubat dan menutup kesalahan dengan perbuatan baik sehingga kesan dosa yang ada dalam jiwa terhapus.

Manusia perlu bertanggungjawab dengan dirinya sendiri, meluruskan iman, keyakinannya, akidah, kepercayaan, mengekalkan kesucian fitrahnya daripada kotoran khurafat dan kepercayaan kepada benda karut yang menggelapkan hati nurani mereka.

    Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X