Jumaat, 5 Disember 2014 | 3:34pm
Antara barisan model Lexus. - Foto Rasul Azli Samad

Lexus kukuhkan pasaran, buka pusat 3S di Melaka

Nurhasyima Hasim


Pusat 3S Lexus di Autocity, Ayer Keroh. -Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Lexus Malaysia membuka pusat 3S pertama jenama itu di Autocity Ayer Keroh, Melaka bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kenderaan mewah di Malaysia dan mengembangkan perkhidmatan servis di negeri itu.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki, berkata pembukaan pusat 3S itu adalah yang ketiga tahun ini selepas Ipoh, Perak dan Kuching, Sarawak, bagi menzahirkan komitmen syarikat terhadap jenama itu.

"Pembukaan pusat ini bukan saja bagi membolehkan pelanggan merasai pengalaman pemilikan kenderaan jenama mewah Lexus malah ia turut beroperasi sebagai pusat servis untuk kemudahan penyelenggaraan kenderaan pelanggan.

"Untuk tujuan pengembangan rangkaian jenama, Lexus Malaysia melabur hingga RM100 juta menerusi pembukaan beberapa outlet sama, bermula di Lexus Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, Sungai Besi, Pulau Pinang, Johor, Kuching, Ipoh dan terbaru, di Melaka," katanya pada majlis perasmian pembukaan pusat 3S Lexus di Autocity Ayer Keroh, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin; Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Datuk Takashi Hibi dan Pengarah Hiewa Auto Gallery Sdn Bhd, Yong Siew Fong.

Ismet berkata, bangunan dua tingkat di atas tapak seluas 0.44 hektar itu bakal menempatkan pelbagai model terbaik dan popular jenama terbabit termasuk Lexus LS dan GS; Lexus ES dan RX SUV selain model terbaru, Lexus NX yang bakal dilancarkan pada Januari 2015.

"Kita bakal menawarkan semua model berkenaan di pusat 3S terbaru ini diikuti model baharu yang lain selepas ini. Susulan pembukaan pusat terbaharu ini, Lexus Melaka menyasarkan untuk menjual lebih 150 unit kenderaan jenama itu pada tahun depan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, Lexus Malaysia yakin mampu mencapai sasaran jualan 1,600 unit menjelang hujung tahun ini susulan permintaan tinggi terhadap pelbagai model dan varian kenderaan ditawarkan syarikat sepanjang 2014.

"Sehubungan itu juga, kita berharap dapat meningkatkan jumlah jualan kenderaan Lexus pada tahun hadapan dengan sasaran untuk menjual sebanyak 2,500 unit," katanya.

Sementara itu, Siew Fong berkata, pusat 3S di Melaka dibina dengan kos RM10 juta dan menampilkan ciri kemudahan berteknologi moden dan peralatan canggih bagi mengekalkan janji syarikat untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

Berita Harian X