Rabu, 23 November 2016 | 11:54pm

Gelongsor air tertinggi dunia bakal dirobohkan


GELONGSOR air tertinggi dunia, Verruckt. - Foto Reuters

KANSAS: Gelongsor air tertinggi dunia akan dirobohkan selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mati akibat patah leher ketika menggunakannya, pada Ogos lalu.

Caleb Thomas Schwab maut di gelongsor air Verruckt di taman tema air Schlitterbahn. Mangsa adalah anak kepada seorang wakil rakyat negeri itu.

Permainan itu membolehkan pengunjung taman tema itu meluncur selaju 80 kilometer sejam.

Dalam satu kenyataan, para pegawai taman tema itu berkata, gelongsor 51.4 meter terbabit akan dihentikan penggunaannya, ditutup secara kekal dan dirobohkan selepas siasatan selesai.

"Pada pendapat kami, ia adalah langkah terbaik susulan tragedi ini," kata mereka.

Polis berkata, Schwab menaiki gelongsor itu menggunakan bot udara kecil bersama dua wanita lain yang hanya cedera ringan, ketika insiden berlaku.

Permainan itu lebih tinggi daripada Tugu Kebebasan dan namanya bermaksud "gila" dalam bahawa Jerman. Taman tema itu akan menunggu kelulusan untuk merobohkan gelongsor itu.

"Kami akan mengumumkan pembinaan permainan menggantikan gelongsor ini, pada masa akan datang," kata pegawai taman tema itu. - Reuters

Berita Harian X