Selasa, 22 November 2016 | 12:02am

Dunia makin panas, cetus fenomena cuaca ekstrem

[gn4id:17508205]

KUALA LUMPUR: Delegasi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Marrakech, Maghribi, pada Isnin lalu dimaklumkan 2016 dijangka mencatatkan tahun terpanas dalam sejarah.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), agensi kendalian PBB mendedahkan data suhu hingga Oktober tahun ini adalah 1.2 darjah Celsius lebih tinggi daripada suhu sebelum Revolusi Perindustrian.

Fenomena El Nino menyumbang kepada peningkatan suhu pada awal tahun, namun selepas ia berakhir, suhu dunia kekal meningkat.

Ia dapat dilihat dengan fenomena cuaca ekstrem di seluruh dunia sepanjang tahun ini, antaranya suhu tertinggi di Thailand, iaitu 44.6 darjah Celsius dan India (51 darjah Celsius), gelombang haba serta kemarau berpanjangan di Afrika, kebakaran paling buruk di Kanada dan Taufan Meranti yang disifatkan paling ganas di dunia membadai Taiwan.

Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas, berkata perubahan suhu secara dramatik berpunca daripada penggunaan lebih banyak bahan api fosil seperti minyak, gas dan batu arang, menyebabkan peningkatan kepekatan gas karbon dioksida, metana dan nitrus oksida di udara.

Malaysia tidak ketinggalan dengan fenomena cuaca ekstrem apabila dilanda El Nino pada awal tahun menyebabkan banyak sekolah diarahkan tutup, serangan strok haba, kemarau dan empangan kering.

Apabila El Nino berakhir, fenomena La Nina pula melanda negara menyebabkan jumlah hujan yang diterima lebih tinggi daripada kebiasaan.

Ia menyebabkan berlaku banjir dan banjir kilat apabila taburan hujan yang diterima melebihi kapasiti yang mampu ditampung oleh sistem saliran sedia ada.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang, berkata fenomena cuaca ekstrem bukan perkara luar biasa, namun peningkatan suhu global tahun ini mungkin berpunca daripada El Nino yang terkuat pernah direkodkan.

"Pada masa sama, pemanasan global turut berlaku. Laporan Penilaian Kelima Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC) menunjukkan suhu meningkat berterusan sejak tiga dekad lalu," katanya.

Beliau berkata, El Nino dan peningkatan suhu juga menyebabkan insiden anomali di beberapa bahagian dunia.

"Fenomena La Nina memang sedang berlaku ketika ini, namun intensitinya adalah lemah. Bagaimanapun, ia masih boleh meninggalkan kesan pada kawasan tertentu," katanya.

INFO: Kronologi insiden cuaca ekstrem di Malaysia:

    16 Oktober 2016 - 380 mangsa dari 90 keluarga di Selangor dipindahkan berikutan fenomena air pasang besar yang melanda Pantai Barat Semenanjung dengan ombak setinggi 5.7 meter.

    18 Ogos 2016 - 388 penternak ikan air tawar di Pahang kerugian lebih RM7.45 juta akibat fenomena El Nino apabila ikan mati dan terbantut kerana cuaca panas melampau.

    18 Julai 2016 - Teluk Bahang di Georgetown mengalami antara banjir kilat terburuk apabila air naik hingga paras pinggang ketika La Nina mula melanda.

    4 Jun 2016 - Bukit Jalil, Sungai Besi dan Serdang dilanda hujan batu sebesar syiling 20 sen dalam tempoh 20-25 minit.

    30 Mei 2016 - Fenomena La Nina atau hujan berlebihan yang dijangka berlaku mulai Jun hingga Oktober berkemungkinan meningkatkan kes denggi - Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

    12 Mei 2016 - Ratusan kenderaan terperangkap dalam kesesakan, dengan lebih 20 kenderaan ditenggelami air paras pinggang dalam banjir kilat melanda beberapa ibu negara berikutan hujan lebat.

    4 Mei 2016 - Bangkai kapal dagang milik British kira-kira 200 tahun lalu muncul di permukaan Sungai Pahang disebabkan paras air cetek berikutan musim kemarau kesan El Nino.

    28 April 2016 - Kementerian Kesihatan terima 200 laporan kes cuaca panas, merangkumi 52 kes kejang haba, 126 kes kelesuan haba dan 22 kes strok haba, termasuk dua kematian.

    26 April 2016 - El Nino ganggu prestasi enjin dan pelumba Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS apabila terpaksa berlumba dalam suhu udara 30-40 darjah Celsius dan suhu litar melebihi 55 darjah Celsius.

    23 April 2016 - Ancaman reptilia berbisa meningkat kepada 11,994 kes atau lebih 3,000 kes sebulan sejak El Nino melanda.

    21 April 2016 - Permintaan bekalan elektrik di Semenanjung naik mendadak 37.8 peratus daripada 12,906 Megawatt (MW) pada 1 Januari lalu kepada 17,788 MW pada April kesan El Nino.

    19 April 2016 - Tujuh empangan utama di Perlis, Perak, Kedah, Johor dan Kelantan merekodkan bacaan paras air membimbangkan apabila sebahagiannya hanya mampu menampung bekalan air domestik untuk 30 hari kesan El Nino.

    11 April 2016 - Hampir 259 sekolah di Perlis, Jerantut dan Temerloh, Pahang ditutup berikutan cuaca kering dan panas melampau, dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius melebihi 72 jam.

    Antara insiden cuaca ekstrem di dunia sepanjang 2016:

    Taufan Meranti yang disifatkan paling ganas di dunia membadai Taiwan pada 14 September, menyebabkan sekolah dan premis perniagaan di seluruh negara itu terpaksa ditutup.

    Kebakaran terburuk dalam sejarah Kanada tercetus di Fort Mcmurray, pada 1 May, bermula di sebuah hutan sebelum merebak hampir ke seluruh bandar itu menyebabkan kira-kira 80,000 penduduknya melarikan diri.

    Hampir 1,000 penduduk maut apabila Taufan Matthew membadai Haiti pada 4 Oktober dan memusnahkan lebih 3,200 kediaman menyebabkan kira-kira 15,000 hilang tempat tinggal. Taufan itu berterusan membadai Caribbean dan Amerika Syarikat.

    Gelombang haba dan kemarau sepanjang tahun di selatan Afrika.

    India mencatatkan suhu tertinggi sejak 1956 apabila bandar Phalodi di Rajasthan merekodkan bacaan suhu 51 darjah Celsius pada 23 Mei.

    Suhu tertinggi di Mae Hong Son, Thailand, direkodkan pada 28 April pada bacaan 44.6 darjah Celsius, selain gelombang haba paling lama di negara itu sejak 65 tahun lalu.

    Pada 5 Julai, banjir lumpur menjejaskan 11 daerah di China, memusnahkan lebih 40,000 kediaman dan mengorbankan lebih 150 nyawa.

    Kesan rumah hijau:

    Atmosfera memerangkap tenaga matahari bagi memanaskan Bumi, namun kesan pemanasan bertambah dengan pelepasan gas tertentu.

    Peratusan kadar pelepasan gas rumah hijau:

    77 peratus karbon dioksida

    14 peratus metana

    8 peratus nitrus oksida

    1 peratus gas terfluorin

    Keadaan pemanasan ini dipanggil pemanasan global atau perubahan iklim

    Kesan: 

    Banjir

    Taufan

    Gelombang haba

    Kemarau

    Peningkatan paras laut

    Kebakaran hutan

    Kepupusan haiwan

Berita Harian X