Ahad, 20 November 2016 | 12:00am

Buku komunis: Penerbit bolos, penguatkuasaan lemah


Ramlah Adam

AKTA Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 antara lainnya secara jelas menggariskan keperluan mengawal kandungan penerbitan supaya tidak memudaratkan keselamatan negara dan mengganggu keharmonian serta menyentuh isu perkauman.

Bagaimanapun, atas keghairahan mengamalkan kebebasan bersuara tanpa batasan, banyak terbitan bercanggah dengan akta ini mudah didapati termasuklah buku berkaitan ideologi komunis. Wartawan BH, Hafizah Iszahanid mendapatkan pandangan Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam.

Soalan: Bagaimanakah Datuk melihat senario hari ini mengenai penerbitan buku berkaitan komunis di negara ini?

Jawapan: Hal yang berlaku adalah kelemahan penguatkuasaan. Komunis tidak pernah menjadi ideologi negara kita. Dahulu pun risalah atau buku berkaitan komunis tidak masuk ke negara kita seperti Das Kapital. British ketika itu memang menyekat kemasukan bahan sedemikian.

Di negara ini, kita bukan bebas tetapi kelemahan penguatkuasaan. Undang-undang jelas, kita tidak pernah menerima komunis. Kalau orang muda mengatakan komunisme bagus, mereka hanya belajar separuh. Semua negara komunis kecuali China dan Russia gagal menegakkan perjuangan komunis, malah mereka pun akhirnya membuka diri dan menamatkan dasar tutup pintu.

Komunis sebagai ideologi hanyalah retorik. Apa yang sebenarnya, kita berhadapan dengan isu kelemahan penguatkuasaan dan kawalan undang-undang. Ini bukan penerbitan berkaitan komunis saja tetapi rasuah juga berleluasa.

Dahulu ada kes penerbitan akhbar luar negara dicetak di sini, penguatkuasaaan sangat lemah kerana sepatutnya setiap benda dicetak mesti mendapat izin. Rakyat Malaysia jenis tidak kisah, nampak pun tidak kisah. Isu sebenarnya, penguatkuasaan lemah pada peringkat kementerian atau pegawai berkaitan tidak peka dengan perkara ini.

S: Sejarah selalu dilihat sebagai penulisan orang yang menang, bukankah kita memerlukan juga pandangan orang yang kalah dalam memahami sejarah?

J: Orang berjaya pegang kuasa itulah yang menulis sejarah, tetapi golongan tidak berjaya pun menulisnya mengikut pandangan sendiri seperti komunis. Misalnya Abdullah CD, Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh yang menulis sejarah yang menceritakan mereka memperjuangkan kemerdekaan negara, tetapi sejarah yang mereka tulis tidak pula menyentuh apa yang mereka sudah buat dalam menentang arus perdana. Mereka selalu mengatakan mereka mempertahan atau memerdekakan kita daripada British. Namun sebagai sejarawan, kita melihat secara objektif. Kita perlu berlaku adil kepada sejarah.

Sejarah yang kita cerita adalah sejarah yang sudah berlaku. Kita mengambil semua cerita daripada pelbagai rekod dan sumber sebelum membuat kajian, kesimpulan serta menyatakan pendirian mana satukah sejarah yang bersifat nasional dan yang mana pula bersifat antinasional. Sejarah merekodkan negara kita menggunakan konsep demokrasi berparlimen yang dipersetujui semua rakyat. Ketika itu ada yang membantah misalnya komunis yang memilih untuk masuk hutan dan mengangkat senjata untuk menentang pemerintahan pilihan rakyat.

Pilihan raya kita yang pertama adalah peringkat majlis bandaran di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang ketika itu, sudah ada pembangkang misalnya PAS dan Parti Sosialis. Demokrasi ialah sistem membenarkan pro dan kontra, anda pilih siapa anda mahu dan ketika itu mereka memilih Perikatan merangkumi Umno, MCA dan MIC.

Zaman itu pun sudah ada parti menyokong dan bekerjasama dengan komunis, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dipimpin Dr Burhanuddin Al Helmy dan Ahmad Boestamam. Ia ditubuhkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Kenapa mereka menubuhkan parti Melayu? Sebabnya, untuk dijadikan alat menentang orang Melayu sendiri.

Kalau saya mengambil kes itu dengan hari ini, DAP, PKR dan PAS, mereka itu demokrasi juga tetapi demokrasi yang gagal dan menyaksikan bergabung dalam beberapa pilihan raya, iaitu pada 2004, 2008 dan 2014. Kita melihat selepas gabungan itu, DAP tidak lagi dianggap sebagai musuh orang Melayu. Ia sama seperti komunis dan PKMM. Orang yang faham sejarah mereka tahu, ini bukan sesuatu baharu dalam politik. Ia perkara berulang.

Sebenarnya sejak 1945, orang bukan Melayu dan orang yang pro-Indonesia (Melayu Raya) bekerjasama tetapi mereka senyap apabila dipenjarakan. Selepas mereka keluar penjara, mereka menubuhkan parti baharu tetapi gagal mendapat sokongan kerana berjuang sendirian.

Jadi siapa kata mereka yang menulis sejarah adalah orang yang menang? Saya menulis buku teks bukan atas arahan kerajaan. Saya menulis buku berdasarkan rekod sejarah yang ada. Kalau kita tulis rekod komunis, kita pun akan jadi pejuang tetapi perjuangan bagaimana?

Perjuangan menjadikan negara ini sebagai negara komunis. Macam Mat Indera itu pejuang komunis, dia adalah golongan memilih masuk hutan untuk menentang kerajaan yang dipilih rakyat.

Bagi saya bukan soal siapa yang menang akan menulis sejarah tetapi sejarah itu mesti objektif. Kalau dulu pun orang menentang komunis maka itulah yang berlaku.

S: Apakah subjek Sejarah di sekolah perlu diperkukuhan?

J: Saya pakar rujuk subjek Sejarah di Kementerian Pendidikan tetapi isunya, sistem pendidikan kita pelbagai. Walaupun sistem pendidikan kebangsaan di bawah kementerian, tetapi kita juga mengiktiraf sekolah jenis kebangsaan, maknanya sistem pendidikan kita meraikan kepelbagaian.

Masalahnya, sekolah jenis kebangsaan ini mempunyai lembaga pengelola yang bebas. Kebebasan ini terlalu banyak dalam sistem pendidikan hinggakan mereka boleh membuat dasar dan keputusan sendiri. Kebebasan itu hingga tahap guru bahasa Melayu yang mengajar di sekolah jenis kebangsaan ini mesti guru berbangsa Cina yang mendapat pendidikan Cina. Sedangkan dahulu kita tidak pernah peduli bangsa apa guru yang mengajar, tidak ada isu.

Namun di SRJKC ini, terlalu kuat kecinaannya hingga hal begini pun mereka tuntut. Jadi di negara ini, kita susah menguatkuasakan dasar sistem pendidikan kerana banyak sangat cabang membabitkan campur tangan politik.

Misalnya buku teks pun ada campur tangan politik. Macam mana kita nak bercakap tentang orang berjaya saja menulis sejarah kalau orang yang sepatutnya sudah tunduk pada sistem yang dipilih pun masih lagi bersikap perkauman? Tidak mahu terima dasar negara?

Berita Harian X