Khamis, 4 Disember 2014 | 1:33pm

Erma Fatima pernah jatuh terduduk bila karyanya dipertikaikan

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Beberapa tahun lalu ketika filem Embun arahan Erma Fatima ditayangkan, babak rogol membabitkan Umie Aida dengan seorang pelakon lelaki pernah membuatkannya seperti jatuh terduduk sekali gus membunuh rasa untuk terus berkarya.

Kini dia pasrah dan reda andai drama atau versi teater naskhah cerita Takhta 3 Ratu terus dipertikaikan, antaranya kerana isu beberapa orang pelakon wanitanya berkemban. Isu ini pernah berbangkit beberapa bulan lalu ketika ia masih dalam peringkat penggambaran.

Semalam drama berkenaan ditayangkan kepada media dan tetamu di Panggung Sari Istana Budaya. Drama epik itu dihasilkan dalam format super tele untuk durasi dua jam setengah dan akan mula disiarkan di Astro First Eksklusif mulai 25 Disember ini.

"Jika ada yang akan terus mempertikaikan isu berkemban ini, saya tak boleh berkata apa lagi. Banyak lagi isu yang patut dibincangkan dalam cerita ini daripada isu kemban. Hakikatnya drama ini banyak lagi hal yang boleh dikupas.

"Ia biarpun digarap secara fiksyen berdasarkan sejarah, menelusuri tiga sisi dan naluri wanita bangsawan lakonan Erra Fazira sebagai Lela Wangsa, Soo Wincci (Puteri Hang Li Po) dan Galuh Chenderai Kirana (Feby Febiola).

"Saya juga cuba memperlihatkan bagaimana kita terus mempertahankan jati diri bangsa yang hilang seiring dengan perkembangan masa kini selain cuba memberi pandangan jauh mengapa Melayu harus terus bertakhta di bumi ini," katanya yang memberitahu pelakon terbabit drama ini atas pilihannya sendiri dan dipersetujui pihak Astro.

Mengikut Erma, dia bersyukur kerana mendapat kerjasama yang baik daripada krew serta tenaga kerja drama epik itu. Asalnya drama itu di hasilkan untuk enam episod yakni sekitar lapan jam tayangan tetapi terpaksa dibuat dalam format sebagai super tele.

"Ketika penggambaran memang tiada masalah yang dilalui, cuma apabila memilih pelakon bertaraf bintang dan popular menjayakannya di satu lokasi yang sama, ..saya berdepan dengan masalah jadual kerja mereka pula. Tetapi ia berjaya juga dihasilkan," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh yang ditanya mengapa tidak disiarkan saja enam episod asal drama itu memberikan jawapan tersendiri mengapa ia dihasilkan dalam format super tele.

"Setakat ini apa yang boleh saya katakan teknologi untuk slot ini masih belum mampu menyiarkan cerita untuk durasi yang panjang," katanya ringkas.

Ketika ini, Erma menegaskan tumpuan penuh wajar diberikan kepada pementasan naskhah cerita ini bagi versi teater yang bermula dari 13 hingga 22 Disember ini. Ia akan dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya.

Watak utama drama turut dikekalkan selain menambah deretan wajah baru untuk memantapkan lagi teater ini. Bagi watak Galuh Chenderai, ia tidak dilakonkan Feby Febiola sebaliknya dilakonkan Izreen Azminda.

Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau melayari laman www.airasiaredpix.com.

Berita Harian X