Sabtu, 19 November 2016 | 11:37am

3 tokoh terima ijazah kehormat UMT


SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto Aswadi Alias

KUALA NERUS: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2016 di Dewan Sultan Mizan UMT, di sini hari ini.

Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT kemudian bertitah dan mengurniakan ijazah kepada graduan pada hari pertama majlis konvokesyen itu. Yang turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Halina Zakaria.

Seramai 2,806 graduan dirai dalam enam sidang berasingan mengikut pusat pengajian masing-masing selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 November.

Pada majlis hari ini, 32 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, 133 graduan menerima ijazah sarjana, 2,396 menerima ijazah sarjana muda, manakala 245 menerima diploma.

UMT juga menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada tiga sarjana atas jasa dan bakti mereka kepada Malaysia dan serantau.

Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, manakala Ijazah kehormat Doktor Sains kepada Pengarah Bright Steel Centre, Datuk Pahlawan Mohd Rasip Hassan dan Profesor Kejuruteraan Lautan di Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Indonesia, Prof Dr Ir Widi Agoes Prakrikto.

Pesta Konvokesyen UMT 2016 bermula semalam sehingga 21 November ini dengan pelbagai pengisian untuk pengunjung.

Berita Harian X