Khamis, 17 November 2016 | 9:51pm

Mercedes-Benz lancar C 63 S Coupé


NAIB Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpangnya, Mark Raine bergambar dengan Mercedes-AMG C 63 S Coupé pada majlis pelancaran dan pandu uji media kereta berkenaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Mercedes-Benz Malaysia terus mengukuhkan kedudukan selaku peneraju kenderaan premium tempatan apabila memperkenalkan Mercedes-AMG C 63 S Coupé baharu, model V8 paling berkuasa dalam segmennya.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpangnya, Mark Raine, berkata kenderaan itu menawarkan pelanggan pengalaman menakjubkan menerusi reka bentuk sasa yang jelas menyerlahkan ciri AMG.

"Jentera ini berkeupayaan menghasilkan kuasa tanpa diragui menerusi enjin turbo berkembar 4.0 liter V8 dari Affalterbach," katanya pada majlis pelancaran dan pandu uji media C 63 S Coupé di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pelancaran model itu selaras kejayaan pasukan Mercedes menjuarai kategori pengeluar untuk kali ketiga berturut-turut dalam Kejuaraan Formula Satu (F1).

C 63 S Coupé mempesonakan dengan reka luaran mengagumkan, berbeza daripada model Mercedes-Benz standard, walaupun berkongsi pintu, bumbung dan tudung but yang sama.

Model itu dikuasakan oleh enjin lapan silinder yang begitu berkuasa serta dipadankan bersama transmisi AMG Speedshift MCT tujuh kelajuan.

C 63 S Coupé mempunyai gerbang roda 64 milimeter lebih luas di bahagian hadapan dan 66 milimeter lebih luas di bahagian belakang, membolehkan penggunaan tayar yang lebih lebar iaitu sehingga 255 milimeter pada gandar depan dan sehingga 285 milimeter pada gandar belakang.

Ia menyumbang kepada peningkatan pecutan, daya cengkaman dan ketangkasan.

C 63 S Coupé baharu juga boleh didapati dalam varian 'Edisi 1', yang turut menawarkan tayar sport dan sistem brek seramik berprestasi tinggi sebagai pilihan.

INFO

Mercedes-AMG C 63 S Coupé

* Enjin - 3942 cc

* Kuasa - 375 kW (510 hp) pada 5,500-6,250 rpm

* Penggunaan bahan api - 8.9-8.6 1/100km

* Pelepasan karbon dioksida - 209-200 g/km

* Pecutan 0-100 km/j - 3.9 s

* Kelajuan maksimum - 290 km/j

* Harga atas jalan termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) tanpa insurans - RM795,888 (Edisi 1), RM773,888

Berita Harian X