Khamis, 17 November 2016 | 6:48pm

Edaran Modenas, pengedar eksklusif skuter KYMCO

SHAH ALAM: Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) dilantik sebagai pengedar eksklusif baharu skuter jenama KYMCO di Malaysia.

Pelantikan itu bukan sahaja menandakan kemunculan semula jenama KYMCO di negara ini, tetapi juga mewujudkan usaha sama strategik untuk kedua-dua pihak.

Sebagai permulaan, EMOS akan membawa masuk dua model KYMCO, skuter 250i Downtown dan 400i Exciting.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata pelantikan itu adalah satu penghormatan kepada kumpulan memandangkan KYMCO adalah pengeluar skuter terbesar di Taiwan serta kelima terbesar di dunia dalam segmen skuter dan motosikal.

"KYMCO memilih untuk bekerjasama dengan EMOS bagi mengukuhkan semula jenama KYMCO di pasaran Malaysia.

"Kami berhasrat untuk memberi nafas baharu kepada KYMCO dan mempromosikannya sebagai satu jenama skuter terkemuka di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

EMOS adalah anak syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), yang juga ahli Kumpulan DRB-HICOM.

KYMCO, jenama skuter terkemuka di Asia Tenggara menyasarkan Malaysia untuk mengembangkan perniagaan mereka di rantau ini.

Dengan barisan skuter baharu KYMCO untuk pasaran tempatan, EMOS menyasarkan untuk menguasai lebih 25 peratus pasaran skuter tempatan menjelang Mac 2017.

Untuk mencapai sasaran itu, EMOS melantik 30 pengedar eksklusif di seluruh Malaysia bagi mempromosikan skuter berkenaan, yang hanya boleh didapati di kedai pengedar eksklusifnya.

Syed Faisal berkata, kerjasama dengan KYMCO bukan sahaja akan menjadi permulaan kepada kerjasama yang saling menguntungkan, tetapi juga akan membolehkan EMOS meluaskan kepelbagaian rangkaian produknya di pasaran.

"Ini adalah sebahagian usaha untuk mengukuhkan kedudukan dan pegangan pasaran kami dalam industri motosikal tempatan," katanya.

Skuter menyumbang 13 peratus daripada keseluruhan industri jualan motosikal Malaysia, yang berjumlah 60,000 unit pada tahun lalu.

INFO

* KYMCO adalah pengeluar motosikal, skuter dan kenderaan serba guna (ATV) nombor satu di Taiwan.

* Ia mempunyai kedudukan kukuh di Eropah, Amerika Utara dan Australia.

* Sepanjang lima dekad lalu, KYMCO memasarkan lebih 10 juta unit skuter, motosikal, e-motosikal dan ATV di 100 negara.

* Ia catat perolehan jualan tahunan melebihi AS$1 bilion (RM4.39 bilion).

Berita Harian X