Khamis, 17 November 2016 | 3:26pm
NAIB Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad (tengah), bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Prof Dr Zulkiple Abd Ghani (kiri) dan Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan Rozali (kanan), melihat poster Konvokesyen USIM ke-14 di bangunan Canselori USIM. - Foto ihsan USIM

Konvokesyen USIM bermula Sabtu ini


NAIB Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad. - Foto Iqmal Haqim Rosman

BANDAR BARU NILAI: Seramai 2,517 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menerima diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah pada majlis Konvokesyen ke-14 universiti itu, selama tiga hari, bermula Sabtu ini.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Musa Ahmad, berkata istiadat pembukaan majlis itu akan disempurnakan oleh Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, yang juga Canselor USIM di Dewan Tuanku Canselor.

"Daripada 2,517 graduan, 2,289 adalah penerima Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (132), Doktor Falsafah (73) selain diploma (23)," katanya pada sidang media di Dewan Canselori di sini, hari ini.

Beliau berkata, Tuanku Aishah turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Dakwah dan Pengurusan Islam kepada Datuk Dr Mohamed Asin Dollah, yang menjadi Timbalan Naib Canselor universiti itu selama 11 tahun, sebelum bersara tahun lalu.

Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, Prof Datuk Dr Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim, turut akan menerima gelaran Profesor Emerita daripada Tuanku Aishah, pada istiadat berkenaan.

Berita Harian X