Sabtu, 23 Ogos 2014 | 9:20am
Muhammad Imran Kunalan Abdullah. - Foto Nashairi Mohd Nawi.

Kursus sains data penuhi keperluan modal insan bidang ICT

Data yang diperoleh boleh memberi jawapan kepada persoalan penting serta membantu ke arah merancang strategi untuk penambahbaikan atau mengatasi masalah dihadapi. Data terkumpul yang dianalisa mampu memberi gambaran sebenar kepada sesuatu keadaan.

Tambahan pula, aliran dan hala tuju industri sekarang dipandu oleh empat agenda iaitu teknologi media sosial, perubahan alat, analisa data dan pengkomputeran awan yang mana komponen ini dinamakan landasan teknologi ketiga.

Big Data Analytics adalah satu daripada komponen itu di mana data yang diambil kemudian dianalisis sebelum satu-satu kesimpulan dapat dibuat. Seterusnya berdasarkan maklumat itu tindakan selanjutnya dapat dirancang yang tujuannya untuk memberi manfaat kepada semua pihak.

Pengarah Bahagian Bakat, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Muhammad Imran Kunalan Abdullah, berkata bersandarkan kepada pelbagai data yang dikumpul dan diperoleh, pihak berkaitan boleh membuat kesimpulan atau menjangkakan perkara yang boleh berlaku.

Katanya, daripada maklumat diperoleh itu, mereka boleh mengambil tindakan sewajarnya atau merangka perancangan berikutnya bagi memastikan sesuatu isu ditangani dengan lebih berkesan atau langkah berjaga-jaga diambil supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk.

"Contohnya, wabak denggi yang semakin meningkat. Kementerian Kesihatan mempunyai data. Langkah seterusnya ialah bagaimana untuk menterjemahkan data itu dan selepas dianalisa, apa pula tindakan untuk mengelakkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan kes denggi.

"Kepentingan Big Data ialah untuk menumpukan kepada isu tertentu. Jika dalam bidang perniagaan, data yang ada boleh memberi petunjuk kepada suasana dunia bisnes pada ketika itu dan juga jangkaan masa depan. Jadi mereka dalam bidang perniagaan boleh melakukan sesuatu untuk menambah baik perniagaan," katanya.

Beliau berkata, sudah tentu pengumpulan dan penganalisaan data perlu melalui proses yang tersusun menggunakan kaedah atau peralatan khusus melihat kepada maklumat serta hasil diharapkan. Kebanyakan data sudah terkumpul dan hanya perlu dibawa ke satu tahap lagi supaya dapat dimanfaatkan.

Bagaimanapun katanya, oleh kerana semua pihak berkongsi banyak maklumat, maka pihak yang ingin memanfaatkan maklumat tertentu atau yang berkepentingan dengan mereka perlu tahu data mana benar-benar sesuai serta memberi manfaat.

Big Data Malaysia adalah rangkaian profesional yang berkepentingan bergabung untuk meningkatkan pelbagai industri membabitkan maklumat dan penggunaan data bagi meningkatkan perniagaan, bidang teknologi maklumat, sosial serta bidang-bidang lain.

Menjurus kepada kemampuan industri untuk mengikut gelombang kebanjiran maklumat serta kaedah memanfaatkannya, Muhammad Imran berkata, ia memerlukan kepada modal insan yang mencukupi serta berkemahiran menganalisis data.

Program MSC Malaysia MyProCert

Sehubungan itu katanya, MDeC bergabung dengan firma perkhidmatan teknologi maklumat IT EMC Malaysia memperkenalkan Program MSC Malaysia MyProCert (SRI) iaitu kursus sains data baru untuk graduan serta profesional yang bekerja.

SRI adalah program yang direka untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap mereka yang berkemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang berkenaan yang bertaraf antarabangsa.

Justeru, secara tidak langsung, program SRI membantu memenuhi permintaan dengan memberi peluang pekerjaan dalam industri ICT selain melahirkan tenaga kerja yang memiliki kemahiran dalam bidang yang menjanjikan peluang lebih luas seiring permintaan pasaran kini.

"Industri sudah mula memahami kepentingan data dan analisis dalam pelbagai bidang khususnya ICT. Ini memberi peluang kepada graduan serta mereka yang ada pengetahuan dalam bidang berkenaan untuk mempertingkatkan kemahiran bagi memenuhi permintaan," katanya.

Beliau berkata, peserta terdiri daripada graduan baru serta profesional yang mempunyai pengalaman kerja di bidang berkenaan akan mengikuti kursus selama lima hari yang ditawarkan melalui EMC Malaysia dan kemasukan pertama bermula Ogos ini.

Pengarah Urusan EMC Malaysia, Cheam Tat Inn berkata, komitmen meningkatkan peluang pekerjaan kepada graduan serta profesional membolehkan tenaga kerja tempatan merebut peluang di pasaran global dan bidang sains data memang menjadi tumpuan kini.

Justeru, katanya, EMC Malaysia dengan kerjasama universiti tempatan komited untuk melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran yang bukan saja dapat menyokong industri teknologi maklumat malah menggalakkan tadbir urus bersandarkan kepada data maklumat.

"Menurut Kajian Transformasi IT EMC, kira-kira 88 peratus perniagaan Malaysia dilaporkan yakin Big Data akan menentukan kejayaan mereka dalam industri. Jelaslah industri mula memahami kepentingan graduan IT dan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang analisis data.

"Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi permintaan semasa dan permintaan itu dijangka akan terus meningkat khususnya mereka yang memiliki kepakaran dalam bidang analisis data serta sains data," katanya.

Janjikan peluang pekerjaan

Dekan Fakulti Pengkomputeran, Kejuruteraan dan Teknologi (FCET) Universiti Asia Pasifik, Peter Hoornaert, berkata jurang dalam kurikulum mendorong pihaknya memasukkan subjek Big Data, Keselamatan dan Analisa yang menjanjikan peluang pekerjaan di masa depan.

Katanya, subjek itu membolehkan bakal graduan memiliki kemahiran tambahan yang memenuhi kehendak pasaran seterusnya menjadikan mereka mudah mendapat pekerjaan.

Berita Harian X