Isnin, 14 November 2016 | 11:16pm

Huawei Mate 9 dilancar di Malaysia 22 November ini


KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Bisnes Pengguna Huawei, Richard Yu ketika melancarkan Huawei Mate 9 di Munich, Jerman. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Selepas pelancaran peringkat global di Munich, Jerman pada awal bulan ini, Huawei Mate 9, telefon pintar terbaharu keluaran Huawei, bakal menemui pengguna di Malaysia pada 22 November ini.

Didatangkan dalam dua warna pilihan 'Champagne Gold' dan 'Mocha Brown', telefon pintar itu boleh dibeli dari semua rangkaian pengedar sah Huawei di seluruh negara pada harga RM2,699 seunit.

Peminat peranti Huawei juga boleh membeli secara dalam talian semasa pra-tempahan jualan ekslusif menerusi platform jualan dalam talian Lazada Malaysia dan Vmall.my bermula hari ini.

Huawei Malaysia menerusi kenyataan hari ini, menyatakan 10 pembeli pertama Huawei Mate 9 secara dalam talian juga akan menerima secara percuma papan kekunci Bluetooth boleh lipat bernilai RM499.

Timbalan Pengarah Negara Huawei Malaysia, Matthew Ng, berkata Malaysia adalah antara beberapa negara terawal bakal menerima model terbaru dan termaju barisan telefon pintar Huawei, sekali gus meletakkan pengguna di Malaysia berada selangkah di hadapan.

"Kami amat teruja kerana rakyat Malaysia akan menjadi sebahagian daripada pemilik terawal di dunia yang mengalami pengalaman Mate 9. Malaysia adalah pasaran utama bagi Huawei, justeru kami bukan sahaja komited untuk terus memberikan produk yang memperkaya pengalaman pengguna mudah alih dan gaya hidup digital, tetapi juga serentak dengan pengguna lain di seluruh dunia," katanya.

Berita Harian X