Sabtu, 12 November 2016 | 1:35pm

3.5 juta rakyat Malaysia hidap diabetes

KUALA LUMPUR: Sikap rakyat Malaysia yang suka makanan berminyak, bergula dan tinggi kalori menyumbang kepada peningkatan diabetes jenis dua.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 3.5 juta atau 17.5 peratus rakyat negara ini berumur 18 tahun ke atas didiagnos menghidap diabetes berkenaan disebabkan gaya hidup.

Presiden Persatuan Diabetes Sedunia (MDA), Profesor Datuk Dr Ikram Shah Ismail, berkata 70 peratus daripada penghidap diabetes jenis dua boleh dielakkan melalui perubahan pemilihan makanan dalam seharian.

"Satu cabaran penghidap diabetes adalah pengurusan kandungan gula dalam pemakanan kerana kita rakyat Malaysia sememangnya suka makan.

"Nestle Health Science telah berkolaborasi dengan hospital di seluruh negara dalam memberi pendidikan kepada penghidap diabetes akan kepentingan penjagaan pemakanan yang sihat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen Nutren Untuk Diabetik anjuran Nestle (Malaysia) Bhd (Nestle Malaysia) bersama MDA di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle, Emilyn Loo serta Pakar Kulinari Antarabangsa dan Chef Selebriti, Chef Wan.

Sementara itu, Emilyn berkata tema Nutren 'Together We Take Charge' mengajak masyarakat memilih gaya hidup sihat menerusi pelbagai program yang dianjurkan.

Chef Wan turut mengakui gaya hidup suka makan dan gemar makanan tinggi kandungan lemak tepu dan gula menyebabkan arwah bapa beliau menghidap diabetes.

"Saya pernah mencuba resipi baharu gantikan karbohidrat dengan bijiran penuh serat dan kurangkan kandungan lemak tepu tanpa menjejaskan perisa makanan untuk menggalakkan arwah bapa memilih makanan seimbang," katanya.

Berita Harian X