Jumaat, 11 November 2016 | 4:43pm

Minyak enjin PETRONAS Syntium SE eksklusif untuk kereta Proton dilancar

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) dengan kerjasama PETRONAS hari ini melancarkan rangkaian ekslusif minyak enjin yang dibangunkan khusus untuk kereta Proton.

Dikenali sebagai PETRONAS Syntium SE (SE merujuk kepada 'Serviced at Edar'), minyak enjin itu kini digunakan sebagai minyak enjin rasmi di semua pusat servis PROTON yang diiktiraf.

Terdapat tiga pilihan baharu yang ditawarkan iaitu PETRONAS Syntium 3000 (5W-30) sintetik penuh; PETRONAS Syntium 800 (10W-30) separuh sintetik; dan PETRONAS Syntium 500 (15W-40) yang berasaskan mineral.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata minyak enjin itu dikeluarkan berdasarkan formula ekslusif bagi mengoptimumkan prestasi kereta Proton dan pada masa sama memperbaiki kos pemilikan jangka panjang.

Beliau berkata, langkah memperkenalkan produk itu bertujuan memperbaiki pengalaman pelanggan dan memberikan lebih nilai melalui pengenalan rangkaian minyak enjin ekslusif untuk kereta Proton.


KETUA Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (PLMM), Zubair Abdul Razak (kanan) pada majlis pelancarannya di Subang Jaya. - Foto Faiz Anuar

"Dengan adanya rangkaian minyak enjin PETRONAS Syntium SE ekslusif ini, pelanggan kami dapat menikmati lebih nilai apabila menghantar kereta mereka untuk di servis di mana-mana pusat servis PROTON yang diiktiraf.

"Tambahan pula, mereka akan mengalami pemanduan yang lebih baik dari segi prestasi kereta, pada kos penyelenggaraan yang lebih rendah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran minyak enjin itu di Subang Jaya, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (PLMM), Zubair Abdul Razak.

Fuaad berkata, langkah memperkenalkan PETRONAS Syntium SE adalah sebahagian daripada usaha PROTON bagi menyediakan pengalaman khidmat pelanggan yang lebih baik untuk mengurangkan kos pemilikan jangka panjang.

Beliau berkata, di bawah kerjasama itu pemilik kereta Proton akan menikmati penjimatan sehingga 20 peratus untuk servis berikutnya di pusat servis PROTON Edar.

Sementara itu Zubair berkata, PETRONAS Syntium SE di reka khusus menggunakan teknologi 'CoolTech' yang membantu melindungi daripada kenaikan suku melampau, sekali gus menjadikan enjin kereta lebih berkesan untuk pemanduan mudah.

Rangkaian PETRONAS Syntium SE boleh didapati di semua pusat servis PROTON yang diiktiraf.


MINYAK enjin PETRONAS Syntium SE eksklusif untuk kereta Proton. - Foto Faiz Anuar

Berita Harian X