Khamis, 10 November 2016 | 2:07pm

Lesen pembungkus dibatal jika gagal sedia bekalan


KETUA Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh. - Foto BERNAMA

SEPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membatalkan lesen pihak pembungkus yang gagal menyediakan bekalan minyak masak meskipun sudah menerima subsidi kerajaan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Jamil Salleh, berkata pihaknya mendapati bekalan minyak mentah sawit mencukupi di kilang pemerosesan, namun pihak pembungkus gagal mengambil bekalan daripada pengilang mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, kegagalan mereka mungkin disebabkan kekangan kewangan apabila mereka terpaksa membayar terlebih dahulu kepada pihak pengilang sebelum mendapatkan bekalan.

"Kami akan bertindak tegas termasuk menarik balik lesen pihak yang gagal menyediakan bekalan dan memberikannya kepada pihak lain yang mampu melakukan kerja pembungkusan minyak berkenaan," katanya pada sidang media ketika mengadakan pemeriksaan di sebuah kilang minyak sawit di Dengkil, sebentar tadi.

Hari ini, KPDNKK mengadakan operasi besar-besaran di seluruh negara bagi memantau bekalan minyak termasuk mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyorok minyak.

Sebanyak 45,000 tan metrik minyak bersubsidi dihasilkan setiap bulan dan ia cukup untuk menampung kegunaan 30 juta rakyat Malaysia.

Berita Harian X