Rabu, 9 November 2016 | 9:01pm

2,792 terima diploma, ijazah Konvokesyen UTeM Ke-12


Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib. - Foto Khairunisah Lokman

DURIAN TUNGGAL: Seramai 2,792 siswazah akan menerima diploma dan ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-12 di dewan besar universiti itu pada 14 hingga 15 November ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata seramai 285 graduan akan menerima Diploma, Ijazah Sarjana Muda (2,197), Sarjana (276), Doktor Falsafah (32) dan dua graduan Doktor Kejuruteraan.

Beliau berkata, pada majlis itu juga pihak universiti turut menganugerahkan Ijazah menerusi sistem 'Aegrotat' kepada seorang graduan lelaki dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) yang hilang keupayaan dalam tempoh pengajian.

Selain itu, katanya, keluarga dua graduan lelaki dari FKM dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi turut menerima Ijazah 'Anumerta' selepas kedua-dua pelajar itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan, baru-baru ini.

"Penganugerahan Ijazah Aegrotat sebagai tanda prihatin atas kesungguhan pelajar dari FKM itu yang hilang keupayaan akibat diserang angin ahmar selepas berjaya menghabiskan 75 peratus daripada pengajian yang diambil.

"Selain itu, pihak universiti juga menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Ir Dr Ahmad Zaidee Laidin serta Anugerah Pelajaran Diraja kepada Mohd Khairul Nizam Muhaimin," katanya pada sidang media di sini, petang tadi.

Bersempena majlis konvokesyen itu, turut diadakan Pesta Konvo bermula dari 13 hingga 15 November yang menyediakan pelbagai aktiviti antaranya Malam Penghayatan Islam, Robo Race Challenge, Pertandingan Kugiran, Malam Citrawarna dan ceramah agama.

Berita Harian X