Selasa, 8 November 2016 | 7:00pm

2,465 graduan UMP terima diploma, ijazah 19 November

KUANTAN: Seramai 2,465 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima diploma dan ijazah pada majlis Konvokesyen Ke-11 di Dewan Kompleks Sukan Universiti, UMP Kampus Gambang, pada 19 November ini.

Majlis konvokesyen selama tiga hari bermula pada 19 hingga 21 November membabitkan sesi pagi dan petang.membabitkan lima sesi iaitu 43 penerima ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (144 pelajar), Ijazah Sarjana Muda (1,634 pelajar) dan 325 pelajar Diploma daripada sembilan fakulti.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata konvokesyen itu juga mengiktiraf 319 graduan daripada program Ijazah Sarjana Eksekutif dan Diploma Eksekutif daripada UMP Advanced Education (UAE) selain 19 pelajar program dwiijazah iaitu hasil kerjasama institusi terbabit dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik.

"Majlis berkenaan akan disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Canselor UMP dan turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada 18 graduan," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Daing Nasir berkata, pelajar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal akan menerima ijazah masing-masing pada Sabtu (19 November), manakala pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Fakulti Pengurusan Industri, Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian serta Fakulti Kejuruteraan Pembuatan pada Ahad.

Beliau berkata, pelajar Diploma pula akan menerima anugerah masing-masing pada Isnin (21 November).

Bagi memeriahkan majlis konvokesyen itu, katanya, pelbagai program sampingan turut diadakan mulai 17 November termasuk UMP ExpoRace, DIY Competition (18 November), Dikir Zikir (18 November), pertandingan mewarna kanak-kanak, Street Soccer (19 hingga 20 November), Ancasa Royale Junior Chef (19 November), Sembang Warung Halal dan Music For The Heroes (20 November) bertempat kampus UMP Gambang.

Berita Harian X