Isnin, 7 November 2016 | 10:08pm
RANJER cemerlang yang ditugaskan sebagai pengutip telur penyu, Haron Safar, 60, menunjukkan spesies penyu karah (Eretmochelys imbricata) yang menjadi antara spesies penyu terancam. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Jabatan Perikanan Melaka usul warta kawasan penyu


ADUN Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud (tengah) bersama Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Ghazali A Manap (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penerima Sijil Anugerah Cemerlang, Haron Safar, 60, (dua dari kiri) dan ranjer pada Program Hari Penghargaan Ranjer di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Padang Kemunting, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

ALOR GAJAH: Jabatan Perikanan Melaka bakal mengusulkan kawasan warta pendaratan penyu sepanjang 800 meter dari Padang Kemunting hingga ke muara sungai Air Hitam Darat, Tanjung Bidara, di sini, sebagai langkah memelihara spesis penyu karah.

Pengarahnya, Mohd Ghazali A Manap, berkata ia berikutan jumlah pendaratan penyu karah yang terkenal di kawasan ini dibimbangi terjejas disebabkan oleh tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab mencuri telur penyu di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sehingga Ogos lalu, sebanyak 39.71 peratus daripada 40,210 telur penyu berjaya melalui penetasan dan telur penyu yang dieram pada September lalu dijangka dapat meningkatkan jumlah penetasan penyu sehingga hujung tahun ini.

"Kita mengesan beberapa lokasi tumpuan pendaratan penyu antaranya di Tanjung Dahan, Meriam Patah dan Tanjung Serai yang mencatatkan sebanyak 114 sarang penyu diikuti kawasan Padang Kemunting (111), Kem Terendak (63), Teluk Belanga (21) dan Balik Batu (15).

"Usaha mengusulkan kawasan warta pendaratan penyu ini termasuk mengawal sebarang aktiviti pengunjung di lokasi terbabit yang boleh mengganggu gugat setiap kali musim pendaratan penyu antara Mac hingga September," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Hari Penghargaan Ranjer di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pengkalan Balak, di sini, petang tadi.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud.

Ghazali berkata, selain mewartakan kawasan terbabit pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan pihak polis bagi mengesan individu yang menjalankan kegiatan curi telur penyu selain mengadakan kempen kesedaran pemuliharaan spesis penyu terancam berkenaan.

Sementara itu, Md Rawi berkata, beliau akan membawa usul kawasan warta pendaratan penyu berkenaan pada mesyuarat EXCO akan datang serta meminta Jabatan Perikanan membersihkan pokok-pokok berakar yang menjejaskan tempat penyu bertelur.

Berita Harian X