Isnin, 7 November 2016 | 3:06pm
DATIN Seri Umie Aida dan Saim Ali. - Foto Aziah Azmee

Umie Aida mengaku 'kayu' di lantai tari


PELAKON jelita, Datin Seri Umie Aida. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Jika diminta bermain emosi, semua orang tahu, pelakon jelita, Datin Seri Umie Aida mampu menghidupkan pelbagai jenis watak.

Namun, apabila disuruh menari, Umie mengaku kelemahan diri yang tidak pandai berdansa.

Mencabar kemampuan diri, Umie yang sedang mementaskan teater muzikal, Mak Cun D'Walei di Istana Budaya, di sini, mendapatkan khidmat jurutari, A Aris Kadir untuk menari ala Bollywood demi projek terbaharunya itu.

"Selama ini, orang tahu, berlakon saya boleh lakukan. Tapi, kali ini, pengarah Mak Cun D'Walei mahu sajikan lebih banyak tarian.

"Tarian bukan forte saya... Memang saya tidak pandai menari. Namun, sekarang saya sudah puas, daripada 'kayu' bolehlah menari sedikit. Terima kasih kepada Aris yang banyak mengajar saya," katanya kepada BH Online.

Sejak dipentaskan pada 3 November lalu, rata-rata ramai penonton asyik melihat aksi Umie 'berangan' seperti Kajol ketika menghidupkan wataknya, Zeenat Manisah.

Malah, ketika beraksi dengan gandingannya iaitu pelakon dari Pakistan, Saim Ali, Umie kelihatan bersahaja dan meyakinkan.

Akui Umie, dia dan Saim cukup serasi.

"Ada babak cinta di mana kami perlu saling berpandangan. Saim mempunyai banyak pengalaman, jadi lebih mudah bekerja dengannya," katanya.

Mengenai rangkaian lagu Bollywood yang melatari teater itu, Umie memberitahu, lagu itu dipilih Erma Fatima.

"Kerja saya adalah menghafal lirik supaya gerak bibir sekata dalam babak nyanyian dan tarian," katanya.

Teater muzikal Mak Cun D'Walei yang dipentaskan sehingga Ahad ini, turut dibintangi Datuk Rahim Razali, Balkisyh Semundur Khan, Amy Search, Fathia Latiff dan Nadia Brian.

Tiket bagi menyaksikan teater muzikal ini dijual pada harga RM36, RM76, RM86, RM106, RM156 dan RM256. Ia boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com.

Berita Harian X