Isnin, 7 November 2016 | 12:12pm

20,528 termasuk 40 CBK duduki SPM di Terengganu

CALON SPM menjawab soalan peperiksaan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Seramai 20,528 termasuk 40 Calon Berkeperluan Khas (CBK) menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri ini yang bermula pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi kerajaan negeri, Bazlan Abd Rahman berkata, Jabatan Pelajaran negeri menyediakan sebanyak 169 pusat peperiksaan membabitkan 1,383 pengawas di seluruh negeri.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan calon SPM termasuk CBK, empat termasuk dua perempuan terpaksa menjawab soalan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan masing-masing seorang calon di Hospital Dungun (HD) dan Hospital Hulu Terengganu (HTT).

"Dua daripada 40 CBK yang menduduki peperiksaan SPM tahun ini adalah calon daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar dan dikategorikan mengalami kurang upaya penglihatan serta terpaksa menggunakan kertas soalan dalam bentuk braille," katanya ketika ditemui selepas melawat calon peperiksaan SPM di HSNZ, di sini, pagi ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah HSNZ, Dr Ahmad Naziri Mohd Nasir dan Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran negeri, Mohamed Embong.

Mengulas jumlah calon peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Bazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit berkata, seramai 2,417 pelajar Tingkatan Enam termasuk empat CBK menduduki peperiksaan di 47 pusat peperiksaan membabitkan seramai 374 pengawas di seluruh negeri.

Berita Harian X