Isnin, 7 November 2016 | 11:13am
PARA pelajar bersalaman dengan guru mereka sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia di Maktab Sultan Abu Bakar . - Foto BERNAMA

52,616 pelajar duduki SPM seluruh Johor

JOHOR BAHRU: Seramai 52,616 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 370 pusat peperiksaan yang dibuka di seluruh Johor, bermula hari ini hingga 6 Disember depan.

Pengarah Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif, berkata daripada jumlah itu, 46,150 pelajar sekolah kerajaan, 107 pelajar Sekolah Agama Negeri, 1,015 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan GiatMARA, selain 3,441 calon sekolah swasta dan 1,903 calon persendirian.

"Seramai 3,864 petugas akan ditugaskan di pusat peperiksaan membabitkan 128 penyelia kawasan, 370 ketua pengawas dan 3,366 pengawas peperiksaan.

"Seramai 122 Calon Berkeperluan Khas (CBK), iaitu yang menghadapi masalah pembelajaran serta kurang upaya seperti fizikal, pendengaran dan penglihatan, turut menduduki SPM tahun ini.

"Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, jabatan melantik 23 ketua pengawas yang akan bertugas di 23 hospital kerajaan dan swasta seluruh negeri bagi menghadapi sebarang kemungkinan terhadap calon," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shaharudin berkata, seramai 13 calon SPM adalah pelajar tahanan di Sekolah Menengah Integriti, Kluang, manakala 10 lagi calon di Sekolah Integriti Muar termasuk calon persendirian.

Sementara itu, pelajar CBK Maktab Sultan Abu Bakar, Nur Atikah Khairul Anuar, 17, ketika ditemui mengakui berdebar bagi menghadapi peperiksaan, namun yakin berkat doa ibu bapa dan kerajinan mengulang kaji pelajaran akan membantu beliau menjawab soalan dengan mudah.

"Saya ingin membuktikan masalah penglihatan yang dialami sejak lahir ini tidak akan menghalang saya sehingga berjaya meletakkan diri sama taraf dengan pelajar lain," katanya.

Berita Harian X