Ahad, 6 November 2016 | 3:53pm

Gaya hidup sihat atasi obesiti


TIMBALAN EXCO Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ng Choon Koon merasmikan EXPO Melaka Sihat 2016 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Kajian Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan 2015 menunjukkan kadar obesiti di Melaka meningkat kepada 36 peratus berbanding 29.3 peratus pada tahun 2011.

Sehubungan itu, Timbalan EXCO Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ng Choon Koon, berkata kerajaan negeri mahu mempergiatkan program berteraskan amalan gaya hidup sihat dan bersukan dalam usaha menangani masalah berkenaan.

"Walaupun statistik itu menunjukkan kedudukan Melaka di belakang Putrajaya dari segi peratusan obesiti, tetapi kita mahu memperbaiki lagi kedudukan itu dengan menggalakkan gaya hidup sihat.

"Kita berharap penganjuran EXPO Melaka Sihat 2016 dapat menarik penyertaan masyarakat dan seterusnya menyampaikan mesej gaya hidup sihat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan EXPO Melaka Sihat 2016 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali Othman.

Berita Harian X