Sabtu, 5 November 2016 | 4:38pm

BH rai 250 guru di Sabah

KOTA KINABALU: Akhbar BH hari ini meraikan 250 guru sekolah rendah dan menengah di Sabah menerusi program 'Sepetang Bersama-Sama Guru 2016' sebagai menghargai sokongan mereka yang menjadi pelanggan tetap akhbar ini.

Program itu sebahagian daripada siri kunjungan BH yang merangkumi enam lokasi iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Sabah dan Selangor selepas ini.

Ketua Penolong Pengarah (Sektor Pengurusan Akademik) Jabatan Pendidikan Sabah, Mohd Fadzli Abd Rozan, berkata pihaknya menghargai peranan BH yang memberi peluang kepada warga pendidik untuk melihat semula keberkesanan serta kedudukan akhbar dalam membantu murid dan pelajar di negeri ini.

Katanya, penggunaan Akhbar Dalam Darjah (ADD) terbitan BH bukan perkara baharu kepada pendidik dan murid di negeri ini, malah ia menjadi alat bantu mengajar kepada guru di samping memberi manfaat kepada pelajar dan murid.

"Melalui penggunaan akhbar juga kita boleh menerapkan aktiviti membaca dalam kalangan murid dan pelajar dengan lebih berkesan. Ia kerana akhbar mudah dibawa ke mana saja.

"Oleh itu, kita merakamkan terima kasih kepada BH atas usaha mereka dalam turut membantu meningkatkan pendidikan di negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir Pengurus Kanan Jabatan Jualan dan Pengedaran Akhbar The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Zatul Iffah Mohamad Zaidi, Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jaafar dan Ketua Biro BH Sabah, Wan Faizal Anuar Ismayatim.

Sementara itu, Wan Faizal berkata, sisipan pendidikan BH merangkumi DIDIK yang khusus untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), MINDA bagi calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan SKOR bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), memberi manfaat kepada lebih 2,000 sekolah sejak diwujudkan pada 1985.

"Sebahagian besar sekolah itu melanggan BH sejak 20 tahun lalu dan kekal bersama kami sehingga kini.

"Kami berharap penggunaan sisipan dan akhbar BH dapat membantu meningkatkan kreativiti dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, sekali gus melahirkan pelajar cemerlang.

"Keberkesanan sisipan ini terbukti apabila majoriti daripada 10 sekolah terbaik UPSR, PT3 dan SPM pada tahun 2015 di setiap negeri adalah pengguna sisipan ini," katanya.

Berita Harian X