Sabtu, 5 November 2016 | 3:16pm

Jawatan baharu tidak jejas kuasa Klopp


AKSI spontan Jurgen Klopp ketika pasukan kendaliannya menentang Crystal Palace pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, 29 Oktober lalu. - Foto AFP

LONDON: Pengendali Liverpool Jurgen Klopp menekankan, kuasa masih di tangannya dalam menentukan jual beli pemain di Anfield walaupun kelab itu mengumumkan Pengarah Kesukanan jawatan yang baru diwujudkan di kelab berkenaan.

Michael Edwards, yang sebelum ini berperanan sebagai ketua analisis, pengarah persembahan teknikal dan pengarah teknikal, kini mempunyai peranan baru bersama Liverpool.

Kebanyakan pengendali kelahiran British tidak senang dengan kehadiran seseorang yang mengisi jawatan di antara mereka dan ketua eksekutif dalam carta organisasi kelab, antaranya pengendali sebelum ini Brendan Rodgers.

Rodgers tidak selesa dengan jawatankuasa perpindahan yang beroperasi ketika dia di Anfield. Jawatan pengarah kesukanan bagaimanapun adalah perkara biasa di kelab-kelab ternama Eropah lain dan Klopp pernah bekerja dalam situasi sama ketika di Borussia Dortmund, kelab lamanya sebelum Liverpool.

"Saya mempunyai kata putus sebelumnya, ia bukan perkara baru," kata Klopp berkenaan pelantikan Edwards. "Apabila orang bertanya - pemain anda atau pemain dia? Jawapannya sentiasa pemain saya.

"Saya tidak boleh menyalahkan orang lain. Saya boleh menangani tekanan. Banyak kerja yang perlu dilakukan di belakang tabir. Anda memerlukan mereka yang terbaik.

"Dalam bidang ini, seorang pengendali tidak boleh, tidak patut, dan tidak dibenarkan bergerak secara individu. Saya pakar dalam bola sepak. Saya tahu banyak perkara, tetapi tidak semua.

"Saya gemar dikelilingi mereka yang terbaik. Michael salah seorang yang pernah saya temui. Siapa saja yang mencadangkan pemain, kami akan berbincang dan keputusan akhirnya tetap di tangan saya." - AFP

Berita Harian X