Sabtu, 5 November 2016 | 12:07am
KHAIRUL menunjukkan hidangan yang terdapat di gerainya. - Foto Rohanis Shukri
PENGUSAHA Gerai Kabin Khairul, Khairul Nizam Ishak. - Foto Rohanis Shukri
ANTARA menu yang terdapat di Gerai Kabin Khairul. - Foto Rohanis Shukri
BURGER bakar dihiasi sos ekslusif olahan Khairul. - Foto Rohanis Shukri
TEH ais di Gerai Kabin Khairul. - Foto Rohanis Shukri
NESCAFE tiga lapisan. - Foto Rohanis Shukri
GERAI Kabin Khairul di Gerik, Perak. - Foto Rohanis Shukri

Rasai burger panjang, sup punggah di Gerai Kabin, Gerik


GERAI Kabin Khairul menyediakan hidangan burger, kebab, hotdog dan oblong yang cukup menyelerakan. - Foto Rohanis Shukri

KETIKA kita berada di sesuatu destinasi, antara yang dicari ialah tempat makanan yang sedap.

Selepas memerap lama dalam bilik penginapan, terasa ingin keluar sambil menikmati makanan sambil bersantai.

Ia tidak semestinya menjamah makanan berasaskan nasi kerana kadang-kadang kita mahu mengambil makanan yang dirasakan agak ringan tetapi mengenyangkan.

Jika kebetulan anda sedang mengembara atau berada di bandar Gerik, bolehlah keluar makan di Gerai Kabin Khairul.

Di gerai ini, cara masakan, penyediaan dan persembahannya menerusi hidangan burger, kebab, hotdog dan oblog cukup menyelerakan.

Turut dikenali dengan nama Long Burger Gerik (LBG) atau burger panjang, gerai ini terletak di lokasi strategik di tengah bandar Gerik, Perak.

Sos olahan sendiri

Pengunjung ke Gerai Kabin Khairul kebanyakannya berhasrat menikmati kelazatan burger bakar dimakan bersama sos ekslusif olahan sendiri oleh pengusahanya, Khairul Nizam Ishak.

"Kelaziman burger dinikmati bersama sos cili atau tomato tetapi saya cuba mempelbagaikan rasa menerusi tiga jenis sos resipi sendiri dituang dalam satu burger iaitu cili, lada hitam dan mayonis bersama-sama dengan lemak masam keju," katanya.

Pilihan daging sebagai bahan asas yang sering dicari pelanggannya adalah daging, ayam dan kambing, ditawarkan dengan harga ditentukan mengikut kuantiti dan ramuan lain yang menyedapkan rasa burger.

Khusus peminat burger bakar atau panggang, LBG menyediakan tiga pilihan hidangan meliputi Smart Burger yang menawarkan patty 100 gram, salad, sosej, sos keju bersama sos lada hitam dan lelehan mayonis.

Tawarkan tiga jenis burger

Marvelous Burger pula dengan tambahan dua patty dan sos, manakala Platinum Burger adalah burger ditambah telur selain segala ramuan dan sos menjanjikan kuantiti lebih dari biasa.

Harga itu ditetapkan untuk pilihan daging ayam atau lembu. Sekiranya memilih kambing, pelanggan perlu menambah RM1 atau RM2.

Khairul mengaku banyak mengambil inspirasi resipi Barat selain kesanggupan mencari produk bahan mentah segar dan berkualiti.

"Saya banyak meneliti cara penyediaan burger di bandar besar. Mula-mula mencuba dahulu, pilihan burger terhad kepada 10 jenis, kini, sebarang rasa dan jenis burger boleh saya sediakan," katanya turut menawarkan tempahan burger gergasi untuk majlis ulang tahun.

Teh ais buih

Jika Khairul popular dengan burger istimewanya, adiknya,Affendy pula meniti dalam kalangan pelanggan menerusi teh ais dan Nescafe tiga lapisan yang luar biasa.

Pelanggan tertarik dengan buih meleleh hampir menutupi seluruh gelas manakala tiga lapisan Nescafe menghadirkan kesempurnaan rasa lemak dan pekat.

"Untuk menyediakan lelehan buih seperti itu, saya perlu tarik teh 'tinggi-tinggi' sebelum menambah kiub ais dalam gelas," kata Affendy.

Selain gerai kabin, Khairul bersama adik-beradiknya membuka kedai makan di halaman rumahnya dinamakan Cairo Brothers Cafe.

Pelanggan berulang ke gerai makan dua beradik ini mengaku tidak mampu menahan keinginan mencuba roti canai telur goyang, roti keju, char kuey teow termasuk paling berbeza, sup campur istimewa atau kalangan setia menggelarnya sup punggah yang mengemukakan adunan rempah sup bersama tulang lutut lembu, ayam, bebola daging, sayur taugeh, daun bawang dan pelbagai bahan lagi yang pastinya melazatkan masakan.

INFO:

Long Burger Gerik & Cairo Brothers Cafe

Lokasi: Gerai Kabin, Bandar Gerik, Perak

Waktu Operasi: 4 petang hingga 12 malam setiap hari (kecuali Jumaat tutup)

Menu Istimewa: Sup punggah - menampilkan adunan sup tulang lutut lembu, ayam, bebola daging, taugeh dan daun bawang.

INFO

* RM2 segelas teh ais buih

* RM6 Smart Burger

* RM10.50 Marvelous Burger

* RM12.50 Platinum Burger

Berita Harian X