Rabu, 2 November 2016 | 5:11pm

Kumbang merah palma ancam Kelantan

PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Teknologi Hijau negeri Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kanan) bersama Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian Pertanian Kelantan, Mat Jusoh Ab. Latiff menunjukkan kumbang merah yang memusnahkan pokok kelapa pada Kempen Kawalan Kumbang Merah Palma Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Cahaya Bulan, PCB Resort. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Kelantan kini berdepan serangan makhluk perosak kumbang merah palma atau Red Palm Weevil (RPW) yang boleh memusnahkan tanaman jenis palma seperti kurma, kelapa dan kelapa sawit.

Jabatan Pertanian Kelantan mengesan kehadiran makhluk perosak itu di sebuah estet kelapa sawit di Gua Musang pada Ogos lalu, yang dibimbangi akan merebak dan menyerang tanaman kelapa sawit di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata selain Gua Musang, makhluk perosak itu turut dikesan di tujuh ladang tanaman kelapa sawit rancangan FELDA, dua ladang sawit FELCRA Bhd dan satu ladang kelapa sawit milik TDM Bhd di Terengganu.

Beliau berkata, RPW memusnahkan projek perintis tanaman kurma seluas sehektar di Pasir Puteh tahun lalu, selain tanaman kelapa di beberapa kawasan di negeri ini.

"Pengusaha ladang kelapa sawit di negeri ini diminta mengambil langkah awal bagi memastikan serangan RPW tidak berlaku dan Jabatan Pertanian turut mengawasi keadaan serta mengambil langkah pencegahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kawalan RPW peringkat Kelantan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Petanian negeri, Karim @ Mohd Khari Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian Kelantan, Mat Jusoh Ab Latif.

Berita Harian X