Rabu, 2 November 2016 | 12:31pm

Akta tangani diskriminasi gender bakal digubal


MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,, Datuk Seri Rohani Abdul karim, ketika sidang media selepas sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meneliti kemungkinan menggubal undang-undang khusus menangani diskriminasi terhadap wanita bagi memastikan Malaysia mencapai kesaksamaan gender seperti negara maju.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata selaras keahlian Malaysia dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), kementerian berusaha memastikan tiada diskriminasi terhadap wanita berlaku, termasuk dalam sektor awam dan swasta.

Beliau berkata, peruntukan undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan turut menyentuh mengenai diskriminasi terhadap wanita seperti disebut dalam Perkara 8, Kesamarataan.

"Selain Perlembagaan Persekutuan, Akta Kerja 1955 yang menyentuh perkara berkaitan diskriminasi terhadap wanita dipinda dan berkuat kuasa 1 April 2012," katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nie Ching meminta penjelasan sama ada kerajaan berhasrat menggubal undang-undang bagi menghentikan diskriminasi terhadap wanita.

Berita Harian X