Isnin, 31 Oktober 2016 | 12:08am

Kembara serata dunia cari jam dinding antik

KUALA LUMPUR: Bunyi 100 jam lama di kedainya di Subang Jaya, Selangor seakan penghibur bagi Md Azaham Ali.

Bagi yang tidak biasa, ia sedikit bingit dengan pelbagai jenis bunyi jam dinding antik, tetapi itulah yang diminati pelanggan yang berminat dengan barang antik jualannya.

Koleksi jam dinding antik itu adalah antara ratusan jenis barang antik dijualnya seperti kristal, seramik, tembaga dan kaca.

Keunikan rekaan jam ini yang beroperasi secara mekanikal, diperbuat daripada kayu ampuh serta pendulum mengeluarkan bunyi denting menyebabkannya menjadi buruan.

Setiap jam kedai Md Azaham, 60, bergema bunyi lebih 100 jam dinding lama.

"Setiap kali (jam) berbunyi, ia memang bising. Namun bagi saya, ia mendatangkan satu perasaan aneh yang saya tidak dapat gambarkan. Ia dengan sendiri menghadirkan rasa puas dalam diri saya. Barangkali, semua ini kerana minat mendalam mengumpul jam dinding, terutama yang klasik dan antik," katanya.


PENIAGA, Md Azaham Ali. - Foto NSTP

MINAT mengumpul pelbagai jam dinding mula menjadi hobi Md Azaham sejak 20 tahun lalu. - Foto NSTP

Minat mengumpul pelbagai jam dinding mula menjadi hobi Md Azaham sejak 20 tahun lalu.

Dia kemudian mengambil keputusan mengembangkannya menjadi perniagaan sehingga mampu membuka kedai antik miliknya sendiri.

Sebut apa saja jenama jam lama, antaranya Star, Maclox, Gold Leaf, Super Deluxe, Smith, Wooma Raffles dan Regulator, sama ada buatan England, China atau tempatan, semuanya ada dalam simpanan Azaham.

Antara koleksi kesayangannya ialah jam yang berusia lebih 100 tahun. Ia dikeluarkan pada tahun 1900, iaitu jam lama keluaran British yang tidak diketahui jenama dan pengeluarnya.

Kata Md Azaham, jam berkenaan diperolehnya ketika mencari barangan antik di Madras, India.

"Jika hendak menentukan jam itu lama atau tidak, boleh lihat pada reka bentuk dan bahagian dalamannya. Ia berbeza mengikut tahun dan zaman ia dikeluarkan.


SETIAP jam kedai Md Azaham bergema bunyi lebih 100 jam dinding lama. - Foto NSTP

ANTARA koleksi barangan antik milik Md Azaham yang dijual di kedainya di Subang Jaya, Selangor. - Foto NSTP

"Namun jam lama biasanya menggunakan huruf roman sebagai nombor penunjuk waktu. Saya ada menyimpan jam klasik dari 1920-an hingga 1950-an. Ada dua jam lama yang saya peroleh daripada peninggalan keluarga," katanya.

Menurutnya, kebanyakan jam dinding koleksinya dibeli di luar negara seperti London, India, Indonesia, Vietnam, Kemboja, China dan banyak lagi.

"Boleh dikatakan hampir seluruh pelusuk dunia sudah saya jelajahi semata-mata mahu menjadikan impian saya satu kenyataan dan akhirnya saya berjaya. Walaupun barangan yang ada tampak begitu eksklusif tetapi harganya jauh lebih murah daripada apa yang difikirkan," katanya lagi.

Berkongsi mengenai perniagaannya, Md Azaham berkata dia tidak meletak keuntungan sebagai asas utama kerana berpendapat kegilaan terhadap barang antik adalah seni yang tiada pada semua orang.

"Mereka yang mengumpul barang antik ini mempunyai jiwa seni yang tersendiri. Sekiranya kita meletakkan keuntungan sebagai objektif utama seolah-olah kita cuba membakar jiwa seni berkenaan.


MD Azaham tidak meletak keuntungan sebagai asas utama dalam perniagaannya. - Foto NSTP

"Semuanya bergantung kepada individu untuk menilai barangan seni itu. Misalnya saya pernah membeli jam lama dengan harga serendah RM300 yang kemudiannya dibeli pula oleh pelanggan pada harga RM1,900.

"Disebabkan itu saya hanya menjual sebahagian daripada koleksi. Cuma yang masih kekal dalam simpanan saya adalah jenis jam yang benar-benar bernilai dan sukar ditemui, terutama koleksi jam klasik yang dibuat sebelum 1950-an," katanya lagi.

Dalam pada itu, satu kelebihan yang ada pada Md Azaham, dia bukan saja boleh dikatakan pakar mengenai jam lama, malah mahir membaiki jam itu.

Menurutnya, biasanya pengumpul jam dinding lama berkebolehan berbuat demikian memandangkan bukan mudah mencari kedai yang boleh membaiki jam lama.

"Jika ada peralatan (dalam jam) yang perlu diganti, baru saya bawa ia ke kedai untuk dibaiki. Jika tidak, saya buat sendiri di rumah.

"Pun begitu, jam lama tidak seperti jam baru. Ia tidak mudah rosak dan daripada segi kualiti dan ketahanan, jam lama lebih baik. Itulah nilai yang tidak terhingga jika memiliki jam lama, ia boleh digunakan sampai bila-bila," katanya.

ANTARA koleksi jam dinding antik. - Foto NSTP
RADIO antik.
KEGILAAN terhadap barang antik adalah seni yang tiada pada semua orang. - Foto NSTP
Berita Harian X