Sabtu, 29 Oktober 2016 | 8:44pm

Piala Malaysia: Cheng Hoe sedia 'pulun' Selangor


Ketua jurulatih pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe (kanan) dan ketua jurulatih pasukan Selangor, K Gunalan pada sidang media Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

SHAH ALAM: Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe menegaskan betapa anak buahnya sudah bersedia sepenuhnya untuk menjinakkan Selangor pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok walaupun kemungkinan sekali lagi beraksi di atas padang basah. 

Pada final tahun lalu, Kedah dilihat gagal mempamerkan corak permainan hantaran pendek selepas terpaksa beraksi di atas padang basah menyaksikan mereka tewas 0-2 kepada The Red Giants. 

Bagaimanapun, kali ini Cheng Hoe menegaskan keadaan padang basah bukan alasan buat pasukannya untuk tidak mampu menjinakkan skuad kendalian K Gunalan di stadium sama malam esok. 

"Pada final tahun lalu, hujan lebat menjejaskan permainan kami tapi bagi saya itu bukan alasan. Kali ini, biarpun cuaca malam esok kemungkinan juga akan hujan, tapi saya yakin semua pemain sudah bersedia dengan semua itu. 

"Apa yang penting, adalah komitmen dan tumpuan 100 peratus yang perlu diberikan pemain dalam memastikan kami mendapat kemenangan. 

"Malah, jika musim lalu kami dibarisi ramai pemain muda dan mereka sedikit gugup beraksi di final, namun untuk tahun ini mereka lebih bersedia," katanya pada sidang media di Stadium Shah Alam, hari ini.

Berita Harian X