Sabtu, 29 Oktober 2016 | 7:23am

The Sellout dinobat Hadiah Man Booker


BEATTY menunjukkan novel The Sellout yang memenangi Hadiah Man Booker.

Ulasan Buku

NOVEL Paul Beatty, The Sellout menjadi satira yang menyengat terhadap isu kaum dan kelas di Amerika Syarikat (AS) sehingga dibandingkan dengan karya sasterawan besar, Richard Pryor dan Mark Twain.

Novel itu memenangi Hadiah Man Booker, sekali gus menjadikan Beatty sebagai pengarang AS pertama yang memenangi anugerah cereka berprestij sepanjang sejarah penganugerahannya.

Panel hakim menyifatkan buku Beatty yang provokatif itu setanding dengan karya klasik, manakala dalam konteks semasa boleh dianggap sebagai berita perdana.

Sejarawan yang juga Pengerusi Panel Hakim Man Booker, Amanda Foreman, berkata buku itu menyelami hati masyarakat kontemporari Amerika yang ditulis dengan jenaka tajam yang kasar yang tidak pernah dibaca sejak Swift dan Twain.

The Sellout berlatarbelakangkan bandar tinggal di pinggir Los Angeles digelar Dickens yang penduduknya termasuklah watak utama novel itu, Bonbon, iaitu lelaki Afrika-Amerika yang dibicarakan di Mahkamah Agung AS atas cubaan menghidupkan kembali perhambaan dan pemisahan kaum.

Buku itu digemari oleh pelawak terkenal, Richard Pryor dan Chris Rock kerana Beatty sanggup meneroka di 'wilayah' yang tidak ramai pengarang menulisnya. Stereotaip perkauman, ucapan ofensif dan insiden polis menembak mati lelaki berkulit hitam menjadi subjek yang disorot oleh mata tajamnya.

Keluar dari zon selesa

Beatty mengakui The Sellout sebagai buku yang keras sama ada untuk dibaca atau ditulis, sekali gus menolak pembaca ke luar dari zon selesa mereka.

"Saya tahu orang boleh salah membaca buku ini dengan mudah. Saya fikir pembaca terjebak dengan perkataan dan idea tertentu serta pemikiran terkongkong.

"Saya tidak mahu terlalu dramatik seperti menulis berjaya menyelamatkan diri tetapi penulisan memang memberikan kehidupan baharu kepada saya. Saya cuba membina ruang kepada diri, sekali gus berharap dapat berbuat demikian kepada orang lain juga," katanya.

Sementara itu, Foreman berkata, The Sellout menggabungkan budaya popular, falsafah dan politik dengan jenaka serta kemarahan sehingga menyelongkar setiap taboo sosial.

"Buku ini memaku pembaca ke dinding dengan perasaan kegembiraan yang ditinggalkan. Sebab itulah buku ini berjaya kerana ketika pembaca dipaku, mereka digeletek," katanya.

Beliau berkata, buku itu membicarakan kerumitan masyarakat moden yang dihadapi pada masa ini termasuk debat budaya mengenai rasisme, kepelbagaian dan siapakah yang berhak untuk menceritakan kisah tertentu.

Panel hakim seramai lima penilai bertemu selama empat jam untuk memilih pemenang daripada enam finalis yang sebelum itu disenarai pendek daripada 155 penyertaan, manakala keputusan memenangkan Beatty pula sebulat suara.

Diperluas kepada semua pengarang berbahasa Inggeris

Diasaskan pada 1969 dan dibuka hanya kepada pengarang dari Britain, Ireland dan Komanwel, Man Booker diperluas kepada semua pengarang berbahasa Inggeris mulai 2014 termasuk AS.

Wujud kebimbangan dalam dunia sastera Britain yang perubahan itu menyebabkan dominasi AS dalam hadiah yang sebelum ini pernah diberikan kepada Salman Rushdie, Ben Okri, Margaret Atwood dan Hilary Mantel tetapi pada 2014 serta 2015, pemenangnya ialah Richard Flanagan dari Australia dan Marlon James (Jamaica).

Beatty membawa pulang hadiah bernilai STG52,500 (RM265,000) pada majlis yang disempurnakan oleh isteri Putera Charles yang juga Duchess Of Cornwall, Camilla Parker-Bowles. - AP

Berita Harian X