Jumaat, 28 Oktober 2016 | 4:11pm
KEDAH akan kekal sebagai negeri jelapang padi, sekali gus terus membekalkan beras ke negara ini. - Foto hiasan

Kedah kekal negeri jelapang padi

ALOR SETAR: Kedah akan kekal sebagai negeri jelapang padi, sekali gus terus membekalkan beras ke negara ini walaupun kawasan sawah padi di sini, khususnya di kawasan bandar terpaksa 'dikorbankan' demi pembangunan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata sebarang tanah sawah yang dikorbankan untuk dibangunkan akan diganti dengan kawasan keluasan sama di lokasi lain.

Mengulas lanjut katanya, beliau tidak mahu Kedah ketinggalan dengan negeri lain dalam mengejar arus pembangunan menyebabkan sedikit dasar dan polisi terpaksa diubah.

"Walaupun Kedah terkenal sebagai negeri pertanian begitu lama namun kini kita buat sedikit perubahan kerana kita tak boleh bergantung 100 peratus pada pertanian kita nak juga tengok negeri ini maju dari segi ekonominya.

"Kita mesti ubah pendekatan dan polisi kerajaan dan berani wujudkan industri lebih berkembang, atas sebab itu kawasan pertanian dalam bandar kita tukar kepada kawasan industri.

"Namun Kedah tetap akan kekal sebagai negeri jelapang padi sebab kalau contoh kita ambil 2,000 hektar sawah di kawasan bandar untuk pembangunan kita ganti kawasan itu di lokasi lain, " katanya pada program TV9, 'Nasi Lemak Kopi O' yang bersiaran secara langsung dari perkarangan Stadium Darul Aman, di sini tadi.

Pada masa sama, Ahmad Bashah berkata, mana-mana kawasan sawah yang digantikan akan dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) supaya penanaman padi menjadi lebih teratur.

Terdahulu, Ahmad Bashah turut mengalu-alukan rakyat negeri ini untuk membanjiri karnival Raudhah Di Hatiku yang berlangsung sehingga esok supaya tidak terlepas peluang turut serta dalam pelbagai acara menarik berunsurkan keagamaan, motivasi, pendidikan dan spiritual.

Sehingga tengah hari tadi, ribuan pengunjung mula membanjiri perkarangan stadium seawal jam 7 pagi untuk mengikuti program 'Tanyalah Ustaz' bersama Ustaz Nik Kamaruddin Yunoh selain menerjah gerai menarik antaranya Tonton, Cerekarama dan Lin Nisa'.

Berita Harian X