Jumaat, 28 Oktober 2016 | 6:45am

Kemahiran generik tingkat kualiti TVET

BAJET 2017 adalah bonus kepada pihak akademik, instruktor dan pelajar aliran pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta limpahan kepada industri yang menyediakan ruang dan peluang lebih luas kepada pelajar TVET menjalani praktikal dan latihan industri. TVET diperakui pendidikan paling tepat untuk menyediakan modal insan yang sedia memasuki terus pasaran kerja pada peringkat separa mahir.

Peruntukan RM4.6 bilion untuk memperkasa institusi TVET perlu diguna sebaik mungkin bukan sahaja untuk pembangunan prasarana, infrastruktur dan fasiliti lebih bersifat fizikal, malah untuk pembangunan profesionalisme pelajar, pelatih dan juga pekerja.

Menyentuh mengenai kualiti graduan institusi TVET, selain pemerolehan kemahiran teknikal, kemahiran insaniah atau kemahiran generik juga perlu diperlengkapkan dalam diri mereka. Maka pelajar dan pelatih serta bakal pekerja, perlu diterapkan dengan kemahiran generik hijau agar dapat membudayakan amalan hijau di tempat kerja.

Pada Persidangan Meja Bulat Belia bertemakan TVET Satu Pilihan pada 15 Oktober lalu di UniKL IPROM, Cheras, beberapa kelemahan ketara pekerja dikenal pasti. Antaranya, soft skills dan nilai kendiri pekerja menyebabkan mereka tidak dapat bertahan lama dalam pekerjaan diceburi.

Lemah kemahiran generik

Ramai pekerja baharu berdepan kesukaran untuk survive dalam tempoh percubaan disebabkan ketidakcekapan dalam mempraktikkan kemahiran generik dan kegagalan membuat sesuatu keputusan dalam keadaan tertekan. Justeru, antara resolusi dalam persidangan ialah memperkasa kemahiran generik pelajar dan pelatih TVET serta pekerja novis.

Dalam mendepani cabaran teknologi dan alam pekerjaan masa akan datang, pelaburan dalam bentuk penyelidikan, penerbitan ilmiah dan harta intelek sangat berbaloi. Sebagai contoh, keberhasilan industri berteknologi hijau pada masa depan sebahagiannya bergantung kepada ketersediaan modal insan dilengkapi kemahiran generik hijau.

Namun, sehingga kini belum ada profil kemahiran generik hijau bagi pekerja di industri berteknologi hijau. Pembangunan profil ini, aplikasi serta keberkesanannya boleh dilaksanakan menerusi peruntukan Bajet 2017. Begitu juga dengan usaha memperbanyak bahan ilmiah dalam bidang TVET perlu dilipat gandakan agar Malaysia mampu menjadi hab Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional serantau.

Peruntukan RM4.6 bilion untuk memperkasa bidang TVET juga dilihat sebagai wadah merealisasikan Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional bertujuan mengarusperdanakan pendidikan vokasional dan memperkukuh tadbir urus TVET. Mengubah suai beberapa Institusi Pendidikan Guru menjadi Politeknik dan Kolej Vokasional juga dilihat usaha memartabatkan bidang TVET dengan memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda memperoleh pengetahuan serta menguasai kemahiran sebagai persediaan ke pasaran kerja.

Ubah suai jadi premis latihan

Selain itu, pengubahsuaian institusi ini menjadi premis latihan wajar dipertimbangkan untuk menyediakan kemudahan melatih semula pekerja khususnya meningkatkan laluan kerjaya dalam bidang kepemimpinan TVET.

Justeru, bagi memantapkan ketrampilan, latihan industri menjadi elemen wajib dalam kurikulum. Kerjasama antara industri dengan institusi penyedia latihan adalah model pembelajaran dan latihan berkesan untuk memupuk sikap terhadap pekerjaan.

Potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan syarikat yang menyediakan Structured Internship Programme adalah satu lagi bonus kepada pihak institusi penyedia latihan dan imbuhan kepada majikan. Dengan cara ini, lebih ramai pelajar dan pelatih TVET berpeluang menjalani latihan praktikal.

Ini bagi memastikan kecekapan setiap pekerja tempatan setanding dengan ketrampilan pekerja negara maju dan memastikan ia sentiasa kompetitif. Bagi pemain industri, bajet ini juga boleh dikatakan sebagai pemangkin memantapkan lagi jalinan kerjasama antara industri dan penyedia latihan TVET bagi memperkasa sumber manusia, memacu negara ke arah negara membangun dan berpendapatan tinggi.

Berita Harian X